Sunday, April 10, 2011

Isu Tajassus : Pandangan Dr. Mohd. Asri Mengelirukan

Isu video seks yang dikatakan membabitkan seorang pemimpin kanan parti pembangkang telah menarik perhatian seluruh rakyat Malaysia, termasuk Prof. Madya Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin (Dr. MAZA) yang sekali lagi menimbulkan pandangan beliau tentang tajassus atau intipan dalam pencegahan maksiat. Memetik tulisan bekas mufti Perlis itu dalam blog beliau, pandangan Dr. MAZA bolehlah disimpulkan seperti yang berikut :-

· Seseorang itu tidak ada hak untuk melakukan intipan (tajassus) yang melibatkan maksiat peribadi, iaitu maksiat yang melibatkan hubungannya dengan Allah semata-mata, tidak melibatkan pihak lain.

· Melakukan intipan berdasarkan cakap dengar orang lain juga tidak diharuskan selagi maksiat tersebut dilakukan secara tersembunyi.

· Maksud “melihat” dalam hadith Nabi s.a.w. : “Sesiapa yang melihat kemungkaran hendaklah ia mengubah dengan tangannya …” ialah “melihat dengan mata kepala sendiri tanpa melakukan intipan”.

`Namun, Dr. MAZA gagal menjelaskan dan membezakan antara tajassus yang dilakukan oleh individu yang boleh mengundang fitnah dan kemudaratan, dengan tajassus yang dilakukan oleh pihak kerajaan (berwajib) yang mempunyai kuasa, kecekapan dan kepakaran, termasuk prosedur-prosedur yang ketat semasa tajassus dilakukan. Bagi memudahkan pemahaman pembaca, di sini saya kemukakan satu kes yang biasa berlaku.

Seorang wanita dilihat kerap kali membawa masuk teman lelakinya ke dalam rumahnya sehingga menimbulkan kecurigaan yang munasabah terhadap jiran-jirannya. Lalu salah seorang daripada jirannya menelefon pihak berkuasa agama bagi menyiasat dan seterusnya mengambil tindakan yang sewajarnya.

Isu yang timbul di sini ialah bolehkah pihak berkuasa mengetuk pintu rumah terbabit bagi memastikan terdapatnya lelaki ajnabi di dalam rumah tersebut. Kalau mengikut pendapat Dr. MAZA, perbuatan menyerbu dan mengetuk pintu rumah tersebut tidak diharuskan kerana maksiat tersebut dilakukan secara tersembunyi.

Di pihak kerajaan dan penguatkuasa agama pula, saya percaya mereka tidak mahu dituduh membiarkan maksiat berlaku begitu sahaja tanpa sebarang tindakan diambil. Sehubungan itu, saya mencadangkan agar satu muzakarah, atau dialog, dan sebagainya diadakan bagi mencari formula terbaik dalam menyelesaikan isu ini bagi mengelak berlakunya kekeliruan, dan seterusnya memberi kefahaman yang jelas kepada masyarakat.

(Nota : Artikel pendek ini telah disiarkan (dengan suntingan) dalam Berita Harian, Isnin, 11 April 2011).

No comments:

Post a Comment