Tuesday, November 15, 2016

Mengenali Perubatan Ibnu Sina Jilid 1

Perubatan Ibnu Sina mungkin belum lagi terkenal di negara ini. Di sebalik usianya yang telah pun mencapai angka seribu tahun, perubatan Ibnu Sina masih lagi diamalkan secara serius dan efektif di India, Pakistan, Asia Tengah, dan Eropah. Malah, di India dan Pakistan, perubatan ini diiktiraf oleh kerajaan kedua-dua buah negara tersebut dan turut diajar di beberapa buah universiti sehingga ke peringkat Doktor Falsafah.

Buku ini satu-satunya buku dalam bahasa Melayu yang membincangkan secara terperinci asas-asas utama perubatan Ibnu Sina yang meliputi perbincangan tentang unsur, humor, mizaj, tenaga, dan organ. Pemahaman yang jelas tentang perkara ini ialah asas penting bagi seseorang yang ingin mendalami cara pemikiran Ibnu Sina dalam perubatan, termasuk tentang teori penyakit, kaedah rawatan, cara-cara mendiagnosis sesuatu penyakit, dan kaedah terbaik bagi pencegahan penyakit dan penjagaan kesihatan. 

Buku ini juga tidak ketinggalan menerangkan secara terperinci anatomi dan fungsi tulang, otot, saraf, dan salur darah arteri dan vena terhadap tubuh manusia. Pemahaman tentang perkara ini, insya Allah, akan menambahkan lagi keimanan kita terhadap Yang Maha Pencipta yang telah menjadikan manusia sebagai sebaik-baik makhluk di atas muka bumi ini.