Thursday, November 25, 2010

Pornografi, Hiburan Atau Ketagihan?

Oleh : Dr. Mohd. Hilmi b. Abdullah
pustakahilmi@yahoo.com
pustakahilmi.blogspot.com

Semasa pra pembentangan Bajet 2011 baru-baru ini, Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd. Najib Tun Razak memberitahu, antara perkara yang banyak dibangkitkan oleh pengunjung-pengunjung portal 1Malaysia ialah keperluan mendapatkan liputan jalur lebar berkelajuan tinggi yang meluas di seluruh negara, termasuk di kawasan kampung dan pedalaman. Sesungguhnya, kesedaran yang ditunjukkan oleh rakyat negara ini berkaitan kepentingan jalur lebar sememangnya dialu-alukan kerana antara syarat untuk Malaysia menjadi negara maju ialah kecelikan teknologi maklumat, komunikasi, dan multimedia yang tinggi di kalangan rakyatnya.

Namun, harus diingatkan bahawa kecelikan dan kesedaran yang tinggi sahaja tidak memadai jika tidak diiringi dengan kesedaran yang sama tinggi, atau lebih tinggi lagi dalam kemahiran insaniah, akhlak, kehidupan beragama, dan hubungan kaum di kalangan rakyat negara ini. Hal ini kerana semakin meluasnya liputan jalur lebar yang berkelajuan tinggi di seluruh negara akan meningkatkan lagi risiko berlakunya salah laku dan penyalahgunaan internet di kalangan rakyat Malaysia.

Antara salah laku yang sering dikaitkan dengan kemudahan jalur lebar, ialah penyalahgunaan internet bagi tujuan yang berkaitan dengan pornografi, yakni kegiatan memuat turun (download) atau memuat naik (upload) video dan gambar lucah, sama ada untuk dilihat dan dinikmati oleh diri sendiri, atau pun untuk dikongsi bersama rakan-rakan yang lain dalam dunia siber...

(Nota : Artikel selengkapnya boleh dibaca dalam majalah Al-Islam, Disember 2010, hlm. 62. Sekian, terima kasih).

Sunday, November 7, 2010

Pas Kelantan Perlukan Perubahan

Oleh : Dr. Mohd. Hilmi b. Abdullah

Kekalahan Pas dalam Pilihanraya Kecil DUN Galas pada 4 November yang lalu sesungguhnya telah memberi tamparan yang hebat kepada kepimpinan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat, di saat kemeriahan rakyat Cik Siti Wan Kembang tersebut meraikan tempoh 20 tahun Pas memerintah Kelantan dan kejayaan pasukan bola sepak Kelantan menjuari Piala Malaysia.

Kekalahan ini sebenarnya sudah dijangka lebih awal lagi memandangkan Galas dan Gua Musang adalah kubu kuat Tengku Razaleigh Hamzah sejak zaman berzaman, khususnya pengaruh Tengku Razaleigh di kalangan orang-orang asli. Namun, majoriti yang melebihi seribu yang diperolehi oleh calon Barisan Nasional, Abdul Aziz Yusoff, sesuatu yang mengejutkan dan memalukan Pas Kelantan yang sentiasa menitikbertakan integriti dan kebertanggungjawaban dalam saf kepimpinannya.

Kekalahan ini juga sebenarnya adalah rentetan daripada kemerosotan undi orang-orang Melayu terhadap Pas Kelantan yang dimulai dengan Pilihan Raya Kecil DUN Manek Urai seblum ini. Trend kemerosotan pengundi Melayu, khususnya di kalangan pengundi-pengundi muda ini adalah petunjuk bahawa rakyat Kelantan sudah mulai jemu dengan corak kepimpinan dan gaya politik yang tidak pernah berubah semenjak 20 tahun yang lalu.

Saya menyedari para penyokong Pas seluruh negara pastinya sukar menerima cadangan saya ini, namun saya percaya Pas Kelantan tidak ketandusan pemimpin untuk diketengahkan. Pas Kelantan juga tidak boleh lagi berlengah dalam mencari dan mengasah bakal-bakal pemimpin di masa hadapan, termasuk di kalangan pemimpin-pemimpin Dewan Pemuda Pas Kelantan.

Saya percaya, jika Dato’ Ahmad Yaakob, Timbalan Menteri Besar sekarang ini diberi kepercayaan untuk menerajui negeri Serambi Mekah tersebut, satu nafas baru dan segar mampu dijana dalam politik negeri Kelantan. Gaya kepimpinan Dato’ Ahmad Yakob yang low profile dan tidak suka mencari musuh pasti disenangi oleh semua pihak, termasuk para penyokong UMNO. Kerjasama antara kerajaan negeri Kelantan dengan kerajaan pusat juga dijangka akan lebih mantap dan seterusnya mampu menjana pembangunan di negeri yang sudah lama tersisih ini.

Tun Dr. Mahathir pernah berkata : “Jika kita mahu meletak jawatan, kita hendaklah meletak jawatan ketika orang masih sayang kepada kita”. Jika Dato’ Nik Aziz masih berkeras enggan meletak jawatan, saya bimbang khurafat yang sedang bercambah di kalangan rakyat Kelantan sekarang ini bahawa Pas Kelantan akan berpecah jika Dato’ Nik Aziz meletak jawatan sebagai Menteri Besar, akan merebak dan membarah sehingga menjadi penyakit yang sukar diubati menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.