Wednesday, April 27, 2011

Surat Terbuka Untuk Ustaz Azhar Idrus

Daripada :
Dr. Mohd Hilmi b. Abdullah
UPSI

Kepada :
Ustaz Azhar Idrus

27 April 2011

Tuan ;

Nikah Di Golok Tidak Sah Tanpa Izin Wali Bapa

Assalamualaikum warahmatullahi ta'ala wa barakatuh. Saya ingin merujuk kepada tajuk di atas berdasarkan dua petikan video ustaz yg telah diuploadkan ke You Tube dan juga jawapan ustaz terhadap isu ini dalam Facebook yg dipetik seperti berikut :

"Ustaz Azhar Idrus ( Original ) : jwpn2 yg saya berikan berikutan isu ini ada tafsil bukan pukul rata..nikah lari dgn nikah di luar negara bukan benda yg sama..
nikah lari ialah pengantin perempuan yg tinggal bersama wali dilarikan keluar negara dan dinikahkan sedangkan wali yaitu bapa masih ada dan tidak diminta izin..dalam hukum Islam wali paling berkuasa..jika wali enggan menjadi wali dgn bertulis barulah berpindah wali kpd datuk kemudian sedara kemudian anak sedara kemudian bapa sedara kemudian spupu..jika ada bapa tapi tidak menggunakan bapa terus digunakan sepupu..tidak sah..inikan pula bapa ada tapi dinafikan hak seorang bapa tanpa izin terus digunakan wali di siam..
manakala nikah diluar negara ialah pengantin berada diluar negara dan bapa tak dapat hadir kerana jauh dan telah memberi izin,,nikah ini sah.."

Bagi saya jawapan ustaz di atas menimbulkan beberapa soalan seperti yg berikut :-

Pertama : Adakah Wali Hakim tidak mempunyai kuasa budi bicara dalam memutuskan untuk melaksanakan perkahwinan yang melebihi jarak dua marhalah? Adakah perlu Wali Hakim tersebut meminta keizinan wali bapa terlebih dahulu dalam melaksanakan aqad nikah tersebut? Adakah sama Wali Hakim dgn tok imam yg selalu menjadi wakil kpd wali bapa dalam upacara aqad nikah?

Kedua : Wali Hakim di Selatan Thailand berpendapat adalah lebih baik mereka menggunakan kuasa yg ada utk melaksanakan aqad nikah daripada membiarkan pasangan terbabit terjebak ke dalam aktiviti zina seperti pelaku dalam video seks Dato' T itu. Adakah Ustaz Azhar Idrus lebih rela melihat perbuatan zina berlaku daripada menerima pendapat khilaf dalam mazhab yg membenarkan Wali Hakim melaksanakan aqad nikah yg melebihi jarak dua marhalah?

Ketiga : Kenyataan Ustaz Azhar Idrus dalam isu ini boleh dianggap menghina Mahkamah Syariah di Selatan Thai dan juga di negara ini yang antara kerja rutin mahkamah tersebut ialah mengesahkan kaedah perkahwinan yg dipertikaikan oleh Ustaz Azhar Idrus itu.

Sekian untuk renungan kita bersama. Segala yg baik itu datangnya daripada Allah, dan segala yang buruk itu daripada kelemahan diri kita semua.

Wednesday, April 20, 2011

Penyakit Jantung Dalam Al-Quran


Kematian seorang demi seorang wakil rakyat selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 yang lalu, termasuk yang terakhir kematian ADUN Kerdau, YB Datuk Zaharuddin Abu Kassim telah menimbulkan polemik tentang betapa pentingnya seseorang wakil rakyat itu menjaga kesihatan dan memastikan dirinya sentiasa bersedia memberi khidmat kepada rakyat dengan tahap kesihatan yang memuaskan. Mengikut rekod, punca utama kematian kebanyakan wakil rakyat tersebut ialah akibat sakit jantung.

Dari satu sudut, timbulnya polemik ini sedikit sebanyak menunjukkan kesedaran masyarakat tentang keperluan penjagaan kesihatan, termasuk memastikan diri bebas daripada penyakit-penyakit kronik seperti sakit jantung, darah tinggi, gout, kencing manis, sakit buah pinggang, strok, dan sebagainya. Dalam hal ini, sakit jantung telah dikenalpasti sebagai penyebab utama punca kematian di kalangan pesakit di negara ini selepas daripada kematian akibat kemalangan jalanraya.

Dalam konteks sakit jantung, antara punca utama penyakit tersebut seperti yang diketahui umum ialah pengambilan makanan yang banyak mengandungi lemak dan minyak, khususnya yang mempunyai banyak kolesterol, gaya hidup yang tidak sihat seperti kurang bersenam, dan tekanan perasaan, atau stres akibat tekanan kerja, masalah rumahtangga, masalah kewangan, dan sebagainya.

Dalam perubatan barat yang dianggap sumber utama perubatan moden hari ini, punca sakit jantung akibat kolesterol dikenali sebagai punca material, manakala punca sakit jantung akibat stres pula dikenali sebagai punca psikologi. Oleh itu, rawatan yang diberikan kepada pesakit jantung juga hanya terhad kepada dua jenis kaedah rawatan, iaitu rawatan secara fizikal melalui pengambilan ubat-ubatan, pembedahan, terapi fisiologi, dan sebagainya, dan rawatan secara terapi mental melalui bimbingan kaunseling, psikiatri, dan sebagainya.

Namun, dalam Islam, punca penyakit tidak hanya terhad kepada punca material dan psikologi sahaja, tetapi turut juga melibatkan spiritual pesakit. Hal ini kerana Islam menganggap hanya Allah sahaja yang mampu menyebabkan seseorang itu mengalami penyakit, dan hanya Dia juga sahaja yang boleh menyembuhkan penyakit tersebut. Dalam Islam, diagnosis doktor dan pengambilan ubat hanyalah ikhtiar semata-mata.

Kerana itulah apabila Siti Fatimah mengadu kepada Rasulullah s.a.w. tentang kepenatannya menjalankan tugas sebagai suri rumah sepenuh masa, lalu memohon daripada ayahdanya itu supaya menyediakan kepadanya seorang pembantu rumah, Rasulullah s.a.w. hanya menyuruhnya supaya bertasbih sebanyak 33 kali, bertahmid 33 kali, bertakbir 33 kali, dan disudahi dengan lafaz “la ilaha illallah” sekali.

Hal ini kerana berzikir dan mengingati Allah adalah ubat rohani yang boleh menjadikan seseorang itu tenang dan tabah. Lalu dengan ketenangan tersebut, mental seseorang itu akan menjadi kuat sehingga segala kepenatan akan hilang dan segala kebimbangan mampu dihadapi secara positif. Malah, berzikir dan mengingati Allah adalah lebih baik daripada menelan panadol atau aspirin bagi meredakan kebimbangan, keresahan, dan kecelaruan minda.

Perkara yang sama juga dititikberatkan oleh Islam dalam perawatan dan penjagaan jantung. Hal ini dijelaskan oleh Allah dalam surah al-Baqarah, ayat yang ke-10 yang bermaksud : “Dalam ‘qulub’ mereka (yakni golongan munafiq itu) terdapat penyakit, maka Allah tambahkan lagi penyakit itu kepada mereka; dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya, dengan sebab mereka berdusta (dan mendustakan kebenaran)”.

(Nota : Baca perenggan yg seterusnya dlm. Al-Islam, Mei 2011, hlm. 40).

Monday, April 18, 2011

Fahami Bacaan Dalam Solatmu


Buku terbaru hasil usaha Dr. Mohd. Hilmi b. Abdullah bersama lapan orang sahabat yang lain. Sesuai untuk murid-murid sekolah rendah dan mereka yang mahu memahami makna-makna perkataan dalam solat.

Monday, April 11, 2011

Kenangan Bersama Ustaz Pahrol Mohd. Juoi

Bersama Ustaz Pahrol, Ketua Pengarang majalah Solusi sempena Bengkel Penulisan pd. 10 April 2011, Ahad, di Auditorium Utama UPSI. Antara intipati bengkel ialah :-
- Penulis sebagai pendakwah dan murabbi.
- Kebanyakan penulis bersifat introvert.
- Jarang individu memiliki dua kelebihan, iaitu kelebihan menulis dan berpidato pada masa yg sama.
- Ilmu yg disampaikan adalah ilmu yg sentiasa diingati, iaitu pada kadar 95%.

Sunday, April 10, 2011

Isu Tajassus : Pandangan Dr. Mohd. Asri Mengelirukan

Isu video seks yang dikatakan membabitkan seorang pemimpin kanan parti pembangkang telah menarik perhatian seluruh rakyat Malaysia, termasuk Prof. Madya Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin (Dr. MAZA) yang sekali lagi menimbulkan pandangan beliau tentang tajassus atau intipan dalam pencegahan maksiat. Memetik tulisan bekas mufti Perlis itu dalam blog beliau, pandangan Dr. MAZA bolehlah disimpulkan seperti yang berikut :-

· Seseorang itu tidak ada hak untuk melakukan intipan (tajassus) yang melibatkan maksiat peribadi, iaitu maksiat yang melibatkan hubungannya dengan Allah semata-mata, tidak melibatkan pihak lain.

· Melakukan intipan berdasarkan cakap dengar orang lain juga tidak diharuskan selagi maksiat tersebut dilakukan secara tersembunyi.

· Maksud “melihat” dalam hadith Nabi s.a.w. : “Sesiapa yang melihat kemungkaran hendaklah ia mengubah dengan tangannya …” ialah “melihat dengan mata kepala sendiri tanpa melakukan intipan”.

`Namun, Dr. MAZA gagal menjelaskan dan membezakan antara tajassus yang dilakukan oleh individu yang boleh mengundang fitnah dan kemudaratan, dengan tajassus yang dilakukan oleh pihak kerajaan (berwajib) yang mempunyai kuasa, kecekapan dan kepakaran, termasuk prosedur-prosedur yang ketat semasa tajassus dilakukan. Bagi memudahkan pemahaman pembaca, di sini saya kemukakan satu kes yang biasa berlaku.

Seorang wanita dilihat kerap kali membawa masuk teman lelakinya ke dalam rumahnya sehingga menimbulkan kecurigaan yang munasabah terhadap jiran-jirannya. Lalu salah seorang daripada jirannya menelefon pihak berkuasa agama bagi menyiasat dan seterusnya mengambil tindakan yang sewajarnya.

Isu yang timbul di sini ialah bolehkah pihak berkuasa mengetuk pintu rumah terbabit bagi memastikan terdapatnya lelaki ajnabi di dalam rumah tersebut. Kalau mengikut pendapat Dr. MAZA, perbuatan menyerbu dan mengetuk pintu rumah tersebut tidak diharuskan kerana maksiat tersebut dilakukan secara tersembunyi.

Di pihak kerajaan dan penguatkuasa agama pula, saya percaya mereka tidak mahu dituduh membiarkan maksiat berlaku begitu sahaja tanpa sebarang tindakan diambil. Sehubungan itu, saya mencadangkan agar satu muzakarah, atau dialog, dan sebagainya diadakan bagi mencari formula terbaik dalam menyelesaikan isu ini bagi mengelak berlakunya kekeliruan, dan seterusnya memberi kefahaman yang jelas kepada masyarakat.

(Nota : Artikel pendek ini telah disiarkan (dengan suntingan) dalam Berita Harian, Isnin, 11 April 2011).

Saturday, April 9, 2011

Kenangan Bersama Prof. Emeritus Dr. Nik Safiah Karim


Gambar ini dirakam selepas majlis diskusi ilmiah "Kelangsungan Tatabahasa Dewan Dahulu Dan Kini" pada 5 Mac 2011 bertempat di Auditorium Utama, UPSI. Dalam majlis tersebut, Prof. Nik Safiah tetap mempertahankan Tatabahasa Dewan sebagai sebuah buku yang bersifat preskriptif, bukannya deskriptif seperti Kamus Dewan.