Thursday, January 20, 2011

Melayang Ke Bulan Selepas Minum Kopi

Percayakah anda seandainya saya mengatakan bahawa jika anda meminum produk air kopi Tongkat Ali yang saya usahakan ini, rumah anda akan bergegar, dan anda mungkin akan tercampak keluar dari tingkap, malah anda juga mungkin akan melayang sehingga ke bulan! Pasti anda tidak percaya kerana dakwaan saya tersebut sesuatu yang mustahil. Malah, mungkin ada di antara anda yang akan menganggap saya sebagai gila, atau sengaja mahu mencari publisiti murahan untuk menarik perhatian orang ramai supaya membeli produk yang diiklankan.


Namun, tahukah anda perkara seperti itulah yang digemari oleh kebanyakan mereka yang terlibat dalam industri pengiklanan di negara ini, malah di seluruh dunia. Lihatlah iklan-iklan yang disiarkan di kaca televisyen khususnya, kebanyakan iklan tersebut bersifat bombastik dan tidak masuk akal, serta mengandungi makna dan mesej tersirat yang bertujuan memberi gambaran kepada penonton bahawa produk yang dihasilkan bermutu tinggi, selamat, mujarab, terbukti berkesan, menjimatkan, disukai ramai, meningkatkan keupayaan diri, dan sebagainya.


Televisyen pula dipilih bagi iklan-iklan seperti ini kerana para penonton dikatakan mudah terpengaruh dengan provokasi yang dihidangkan oleh medium tersebut. Hal ini kerana iklan di kaca televisyen mampu dipersembahkan melalui adunan audio dan visual yang menarik dan memukau. Keadaan ini diperkuatkan lagi melalui penampilan barisan pelakon yang cantik, menggiurkan, tampan, dan bertubuh sasa, termasuk penampilan duta-duta produk daripada selebriti-selebriti yang terkenal seperti artis, personaliti televisyen, bintang sukan, penceramah agama, dan lain-lain.


(Nota : Untuk membaca artikel yang selengkapnya, sila dapatkan majalah Al-Islam, Februari 2011, halaman 66. Sekian, terima kasih).