Tuesday, November 15, 2016

Mengenali Perubatan Ibnu Sina Jilid 1

Perubatan Ibnu Sina mungkin belum lagi terkenal di negara ini. Di sebalik usianya yang telah pun mencapai angka seribu tahun, perubatan Ibnu Sina masih lagi diamalkan secara serius dan efektif di India, Pakistan, Asia Tengah, dan Eropah. Malah, di India dan Pakistan, perubatan ini diiktiraf oleh kerajaan kedua-dua buah negara tersebut dan turut diajar di beberapa buah universiti sehingga ke peringkat Doktor Falsafah.

Buku ini satu-satunya buku dalam bahasa Melayu yang membincangkan secara terperinci asas-asas utama perubatan Ibnu Sina yang meliputi perbincangan tentang unsur, humor, mizaj, tenaga, dan organ. Pemahaman yang jelas tentang perkara ini ialah asas penting bagi seseorang yang ingin mendalami cara pemikiran Ibnu Sina dalam perubatan, termasuk tentang teori penyakit, kaedah rawatan, cara-cara mendiagnosis sesuatu penyakit, dan kaedah terbaik bagi pencegahan penyakit dan penjagaan kesihatan. 

Buku ini juga tidak ketinggalan menerangkan secara terperinci anatomi dan fungsi tulang, otot, saraf, dan salur darah arteri dan vena terhadap tubuh manusia. Pemahaman tentang perkara ini, insya Allah, akan menambahkan lagi keimanan kita terhadap Yang Maha Pencipta yang telah menjadikan manusia sebagai sebaik-baik makhluk di atas muka bumi ini.

Wednesday, April 27, 2016

Khasiat Tumbuh-Tumbuhan Perubatan Menurut Ibnu Sina (Jilid 4)

Harga buku (termasuk kos Poslaju) = RM 30.00 (semenanjung), RM 32.00 (Sarawak), dan RM 34.00 (Sabah).



Buku Khasiat Tumbuh-Tumbuhan Perubatan Menurut Ibnu Sina (Jilid 4) ini ialah kesinambungan daripada Jilid 1, Jilid 2, dan Jilid 3 sebelum ini yang telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada para pembaca dan peminat perubatan herba dan alternatif di negara ini. Keterujaan untuk mengetahui pandangan Ibnu Sina dalam hal yang berkaitan dengan tumbuh-tumbuhan perubatan telah menyebabkan ramai dalam kalangan mereka mendesak penulis buku ini menyegerakan terjemahan tumbuh-tumbuhan perubatan yang terdapat dalam kitab al-Qanun Fi al-Tibb oleh Ibnu Sina.

Buku ini mengupas pandangan dan penemuan Ibnu Sina berkaitan fungsi tumbuh-tumbuhan perubatan dalam rawatan dan pencegahan penyakit, faedah terhadap organ-organ tubuh dan juga fungsi tumbuh-tumbuhan tersebut dalam bidang kosmetik, pengawalan serangga dan haiwan perosak, dan anti toksik.

Penerbitan buku ini dipercayai memenuhi citarasa kontemporari masyarakat hari ini yang sedang tercari-cari alternatif terbaik dalam penjagaan kesihatan dan rawatan penyakit, termasuk aspek kecantikan dan penampilan diri, khususnya melalui sumber-sumber semulajadi yang selamat dan mujarab.