Saya mengalu-alukan kenyataan pihak Astro bahawa rancangan realiti televisyen Akademi Fantasia 9 adalah AF yang terakhir. Sehubungan itu, saya berharap pihak Astro akan mengambil kira perkara yang berikut apabila memutuskan untuk menggantikan rancangan tersebut dengan rancangan yang baru.
Dalam surah al-Syu’ara’, ayat 224 hingga 227, Allah Ta’ala telah menggariskan lima prinsip asas yang mesti diambil kira oleh setiap mereka yang terlibat dalam dunia seni dan hiburan, sama ada penyanyi, pelakon, pelawak, pengarah, komposer, penulis lirik, penulis lakon layar, penulis cerpen dan novel, penggiat teater, dan lain-lain. Lima prinsip asas tersebut ialah :-
1) Setiap karya yang dihasilkan mestilah menjurus ke arah keimanan terhadap Allah, atau mengajak masyarakat beriman dengan Allah, dan seterusnya menjauhkan perkara-perkara yang boleh membawa kepada syirik.
2) Setiap karya yang dihasilkan mestilah menjurus, atau mengajak masyarakat melakukan amal kebajikan dan perkara-perkara yang mendatangkan kebaikan, sama ada kepada diri sendiri, keluarga, dan masyarakat amnya.
3) Setiap karya yang dihasilkan mestilah ke arah mengingati dan memuji Allah Ta’ala, Nabi Muhammad s.a.w., para sahabat, dan orang-orang soleh. Termasuk dalam konteks memuji Allah ialah memuji ciptaan-Nya dan tanda-tanda kebesaran-Nya.
4) Setiap karya yang dihasilkan mestilah mengandungi elemen yang menolak sebarang bentuk kezaliman yang berlaku dalam masyarakat. Pendek kata, penggiat seni dan hiburan mestilah berani membela golongan yang tertindas yang telah dinafikan hak mereka oleh mana-mana pihak, sama ada kerajaan, majikan, dan sebagainya.
5) Setiap karya yang dihasilkan mestilah berani menegur pihak-pihak yang telah melakukan kezaliman, termasuk memberi peringatan kepada mereka tentang balasan dan azab yang akan diterima oleh mereka di akhirat nanti.
Dalam ayat yang sama juga, Allah mengingatkan penggiat seni dan hiburan agar menjauhkan tiga perkara yang berikut, iaitu :-
1) Menjauhkan diri mereka daripada menjadi penyebab kepada kesesatan peminat-peminat mereka. Jangan kerana kita sesat, kita pula menyesatkan orang lain pula.
2) Menghasilkan karya yang tidak membina minda, moral, dan akhlaq. Sebaliknya karya yang dihasilkan bersifat sampah, merapu, dan tidak keruan.
3) Melakukan sesuatu perkara yang bercanggah dengan apa yang mereka katakan, atau lakonkan, atau apa yang mereka tulis. Contohnya, pelakon yang membawa watak baik dalam drama atau filem, tetapi menjadi seperti iblis ketika di luar layar perak.
Sekian untuk renungan bersama.
Dr. Mohd. Hilmi b. Abdullah
Fakulti Bahasa dan Komunikasi, UPSI.
No comments:
Post a Comment