Wednesday, February 15, 2012

Adam Adli Hero Mahasiswa?

Oleh : Dr. Mohd. Hilmi b. Abdullah

pustakahilmi@yahoo.com

Keputusan Mahkamah Rayuan pada 31 Oktober 2011 yang memutuskan bahawa peruntukan dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 yang melarang pelajar menyatakan sokongan dan simpati, atau bangkangan kepada mana-mana parti politik dalam dan luar negara, adalah tidak sah dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan telah menyemarakkan semula semangat para mahasiswa untuk terlibat aktif dalam politik kepartian, khususnya di peringkat kampus.


Gelombang kebangkitan mahasiswa ini mula ditunjukkan melalui penglibatan golongan muda ini dalam beberapa demontrasi, termasuk demontrasi jalanan, sama ada di dalam, mahu pun di luar kampus. Antara kumpulan mahasiswa yang dilihat terlibat aktif dalam menuntut apa yang didakwa sebagai kebebasan akademik dan kebebasan mengeluarkan pendapat dan berpartisan ini ialah Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (Bebas), Gabungan Mahasiswa Islam Semalaysia (Gamis), dan Legasi Mahasiswa Progresif (LMP).


Natijahnya, pada 17 Disember 2011 yang lalu, kumpulan mahasiswa ini telah berjaya menyerahkan memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) di ibu pejabat suruhanjaya tersebut di bangunan Maju Junction yang disambut oleh Pesuruhjaya Suhakam, Shaani Abdullah. Teruja dengan kejayaan tersebut, kumpulan ini kemudiannya berarak pula ke ibu pejabat UMNO di bangunan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bagi menyerahkan satu lagi memorandum kepada Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah.


Ketika Timbalan Menteri tersebut sedang berucap menggunakan pembesar suara, ketika inilah seorang mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Adam Adli bin Abd Halim, 22, tanpa berfikir panjang, dan mungkin juga tanpa memikirkan sebarang implikasi daripada perbuatannya itu, telah bertindak secara solo menurunkan bendera yang memaparkan wajah Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Najib Tun Razak, dan seterusnya menaikkan bendera Kebebasan Akademik dalam tempoh yang dikatakan tidak sampai lima minit.


Saya percaya tindakan spontan Adam Adli ini tidak mempunyai sebarang niat untuk menjatuhkan maruah, atau memalukan UMNO dan Perdana Menteri, tetapi lebih didorong oleh semangatnya yang kuat untuk melihat tuntutan mahasiswa yang terkan-dung dalam memorandum tersebut diberi perhatian yang serius oleh pihak kerajaan, khususnya Kementerian Pengajian Tinggi. Menurut Adam Adli lagi : “Apabila pelajar lain nampak apa yang saya lakukan, barulah mereka merasakan kemenangan, bukan hanya jumpa menteri, sudah rasa menang”.


Namun, walau apa pun hujah dan alasan yang diberikan oleh Adam Adli dan pihak-pihak yang menyokong tindakannya itu, terutamanya SMM dan Bebas, tindakan Adam Adli ini jika dilihat dari sudut adab ketimuran, apatah lagi ajaran Islam yang suci, pastinya dianggap sebagai suatu tindakan yang tidak bersopan dan beradab. Hal ini kerana antara hak tuan rumah terhadap tetamunya ialah meminta para tetamunya untuk tidak melakukan sebarang perbuatan dan tingkah laku yang boleh dianggap mencabul maruah dan kehormatannya sebagai tuan rumah.


Dalam hal ini, saya tidak fikir Adam Adli tidak mengetahui bahawa PWTC itu adalah ibu pejabat UMNO, atau dalam kata lain rumah UMNO. Kerana itulah, kita menyokong penuh saranan Datuk Saifuddin Abdullah supaya Adam Adli dan pihak-pihak yang terlibat dalam insiden tersebut memohon maaf secara terbuka dan tanpa syarat kepada Perdana Menteri. Saranan Ahli Parlimen Temerloh yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO ini jika diperhalusi sebenarnya selari dengan firman Allah Ta’ala dalam surah al-Ahzab, ayat yang ke-53 yang bermaksud :-


Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu masuk ke rumah Nabi (menunggu makanan masak kerana hendak makan bersama), kecuali kamu dijemput untuk menghadiri jamuan, bukan dengan menunggu-nunggu masa sajiannya ; tetapi apabila kamu dijemput, maka masuklah (pada waktu yang ditetapkan) ; kemudian setelah kamu makan, maka hendaklah masing-masing bersurai dan janganlah duduk bersenang-senang dengan berbual-bual. Sesungguhnya yang demikian itu menyakitkan dan menyusahkan Nabi sehingga ia merasa malu (hendak menyatakan hal itu) kepada kamu, sedang Allah tidak malu daripada menyatakan kebenaran ...”.


Dalam ayat di atas, Allah Ta’ala telah menegur tindakan sesetengah sahabat Nabi s.a.w. yang mengambil peluang untuk berborak panjang selepas menikmati jamuan di rumah Nabi s.a.w. sehingga menyebabkan baginda menjadi serba salah, sama ada mahu menyuruh para sahabat tersebut pulang, atau pun berdiam diri sahaja. Seandainya berbo-rak panjang selepas menikmati jamuan pun ditegah oleh Allah, maka saya tidak nampak di manakah logiknya Adam Adli mahu mempertahankan tindakannya menurunkan bendera berwajah Perdana Menteri dan Presiden UMNO itu.


Namun, sayang sekali, setelah didesak supaya memohon maaf, pelajar yang berasal dari Kepala Batas, Pulau Pinang itu memilih untuk bertegas tidak akan membuat sebarang permohonan maaf kepada Perdana Menteri. Alasannya hanyalah kerana tindakannya itu dianggap suatu perkara yang kecil sahaja dan tidak perlu diperbesar-besarkan. Malah, pelajar semester ke-5 UPSI itu menganggap perjuangan beliau dan rakan-rakan dalam menuntut pemansuhan AUKU dan kebebasan akademik jauh lebih penting untuk diperkatakan dan dibincangkan.


Saya tidak berasa pelik sekiranya Adam Adli tidak pernah membaca dan mendengar firman Allah dalam surah al-Ahzab di atas tadi memandangkan beliau adalah pelajar Fakulti Bahasa dan Komunikasi, di bawah program Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL). Namun, saya sedikit kesal jika sekiranya terdapat pelajar daripada program Pengajian Islam yang turut sama dalam insiden tersebut yang gagal memberi nasihat yang baik kepada Adam Adli dalam isu ini, malahan turut menyokong beliau dalam keadaan apa jua sekalipun.


Saya percaya, kesungguhan Adam Adli untuk tidak memohon maaf banyak didorong oleh hasutan daripada pihak-pihak tertentu yang mahu mengambil kesempatan bagi kepentingan puak dan diri masing-masing, khususnya menjelang pilihan raya umum (PRU) yang ke-13 nanti. Bagi pihak-pihak ini, memohon maaf kepada Perdana Menteri adalah satu bentuk kekalahan moral kepada UMNO dan Barisan Nasional. Oleh itu, perkara ini mesti dielakkan sama sekali, walaupun terpaksa mengorbankan seorang anak muda yang masih mentah dalam dunia politik.


Nasihat saya kepada Adam Adli, masa masih belum terlambat buat saudara untuk berfikir kembali dengan hati yang tenang. Saya yakin, pihak UPSI tidak mempunyai halangan untuk membantu saudara sekiranya saudara betul-betul ikhlas mahu berubah dan mengubah diri saudara ke arah yang lebih baik dan gemilang. Akhir kalam, kepada para pembaca sekalian, anda nilailah sendiri, sama ada Adam Adli layak digelar hero mahasiswa, atau pun sebaliknya?

No comments:

Post a Comment