Wednesday, June 23, 2010

Beberapa Persoalan Tentang Ibnu Sina dan Perubatan Ibnu Sina

1) Adakah Ibnu Sina minum arak ?

Jawapan : Isu ini timbul apabila Ibnu Sina – semasa menceritakan tentang sejarah hidup beliau – menyatakan bahawa beliau akan meminum segelas “syarab” apabila terasa mengantuk dan letih pada waktu malam. Hal ini menjadi kontro- versi apabila perkataan “syarab” tersebut diterjemahkan sebagai “wain” dalam bahasa Inggeris, sedangkan syarab yang dimaksudkan oleh Ibnu Sina di sini ialah jus minuman yang memberi tenaga.

2) Adakah Ibnu Sina murtad sebelum meninggal dunia ?

Jawapan : Isu ini timbul apabila Ibnu Sina – semasa hampir meninggal dunia – dikatakan menyebut “pentadbir yang sedang mentadbir tubuhku telah lemah dalam pentadbirannya”. “Pentadbir” yang dimaksudkan oleh Ibnu Sina di sini sebenarnya merujuk kepada sistem pertahanan tubuh badannya yang telah lemah dalam mengawal tubuhnya daripada serangan penyakit.

Bagaimanapun, oleh kerana perkataan “pentadbir” tersebut telah ditafsirkan oleh pihak-pihak tertentu sebagai Allah s.w.t., maka kata-kata Ibnu Sina itu dianggap boleh merosakkan akidah seseorang. Justeru itu, ada pihak yang mencadangkan agar Ibnu Sina diisytiharkan sebagai kafir. Bagaimanapun, usaha tersebut gagal apabila ada ulama yang tidak bersetuju untuk mengkafirkan Ibnu Sina.

3) Adakah perubatan Ibnu Sina boleh dianggap sebagai perubatan Islam ?

Jawapan : Tujuan Ibnu Sina menulis kitab al-Qanun Fi al-Tibb adalah untuk digunapakai oleh semua golongan, sama ada orang-orang Islam, mahu pun bukan Islam. Oleh itu, dalam kitab tersebut terdapat juga kaedah rawatan dan ubat -ubatan yang bercanggah dengan Islam seperti penggunaan arak, najis haiwan, dan organ haiwan yang tidak halal.

Anggaplah perkara tersebut dinyatakan oleh Ibnu Sina untuk kegunaan orang- orang bukan Islam, dan sebagai orang Islam kita hendaklah memilih kaedah rawatan dan ubat-ubatan yang menepati kehendak syarak. Justeru itu, perubatan Ibnu Sina boleh dianggap sebagai perubatan Islam selagimana perubatan tersebut menepati kehendak syarak.

4) Adakah Perubatan Ibnu Sina masih relevan pada hari ini ?

Jawapan : Ya, perubatan Ibnu Sina masih relevan pada hari ini kerana perubatan ini masih dipraktikkan dengan jayanya, khususnya di India dan Pakistan. Di kedua-dua negara tersebut, perubatan Ibnu Sina diajar di beberapa buah universiti sehingga ke peringkat Doktor Falsafah (Ph.D), di samping mempunyai klinik, hospital, dan makmal farmasinya yang tersendiri.

1 comment:

  1. Menggunakan bahan haram seperti haiwan yamg haram. Bukahkah jika tujuan perubatan/darurat dibolehkan?

    ReplyDelete