Saturday, October 26, 2019

Gunung Kinabalu, Memori Yang Tak Kan Hilang

Hari ini aku curi sedikit masa untuk mencoret sedikit sebanyak pengalaman aku mendaki Gunung Kinabalu (GK) pada 11 dan 12 Oktober 2019 yang lalu. Kalau nak tunggu ‘time’ aku free baru nak tulis, sampai ke sudah tak menulis lah aku. Sibuk memanjang mengalahkan menteri.

Mendaki GK merupakan salah satu cita-cita (lebih tepat angan-angan) hidupku semenjak kecil. Hanya dua perkara yang menjadi halangan untukku mendaki GK sebelum ini, iaitu peluang dan wang. Peluang pertama datang pada tahun 2017 bila geng KIKFit’87 (geng alumni SPM 1987, KIK) mengadakan ekpedisi pertama ke GK. Namun, pada masa itu aku belum bersedia kerana masalah bajet yang selalu defisit.

Pada tahun 2018, sekali lagi KIKFit’87 mengadakan ekpedisi ke GK. Namun, sekali lagi aku terpaksa menolak kerana sudah merancang untuk ke GK pada tahun 2019 dengan Dr Khairuddin Lim, pensyarah FPE, UPSI. Lagipun, tahun 2018 tu aku sibuk menyiapkan penyelidikan berkaitan Ensiklopedia Tumbuh-Tumbuhan Perubatan Arab-Melayu-Inggeris-Nama Saintifik.

Pada April 2019, Dr. Khai memberitahu aku satu trip ke GK telah dirancang pada Sept 2019. Dipendekkan cerita trip tersebut terpaksa ditunda kepada 9 dan 10 Okt 2019 dan ditunda sekali lagi kepada 10 dan 11 Okt 2019. Trip ini diketuai oleh En. Fairuz, pegawai keselamatan UPSI yang sudah banyak kali terlibat dalam pendakian gunung, termasuk di Indonesia.

OK lah itu muqaddimah .... he he. Akhirnya pada pagi 10 Okt 2019 kami seramai 19 org bertolak dari KLIA ke Kota Kinabalu. Berhenti makan tengahari di KK dan solat Zuhur jamak taqdim di Masjid Likas. Kami sampai di Kundasang dah dekat Maghrib dalam keadaan hujan renyai-renyai. Sepanjang perjalanan ke Kundasang itu kami disajikan dengan hujan lebat. Jadi kami gagal lihat pemandangan GK dengan jelas kerana kabus.

Malam itu, kami menginap di Kiram Village, di kaki GK berlatarkan GK yang cantik dan jelas. Malam itu ada siaran langsung bolasepak Malaysia lwn. Vietnam. Malaysia kalah 1-0. Alhamdulillah malam itu aku dapat buang air besar dengan banyak sekali. Bimbang juga kalau tak dapat buang air besar sebab pagi esok dah nak mendaki. Sakit perut nak berak ketika mendaki dan marathon adalah perkara yang paling aku bimbang dan minta dijauhkan oleh Allah.

Pagi keesokannya, Jumaat, 11 Okt 2019 kami mendaki terlebih dahulu Sosodikon Hill yang berviewkan GK yg menarik. Setiap org kena bayar RM 3.00. Rendah aje, dlm 10 – 15 minit dah boleh sampai puncak bukit utk bergambar berlatarbelakangkan GK dan sebagai warming up sebelum mendaki GK.

Selepas itu kami pergi makan pagi. Sebelum mendaki kena ambil makanan yang banyak karbohidrat seperti telur dan daging. Tapi aku terlupa nak order telur. Dipendekkan cerita sekali lagi, selepsai urusan di pejabat Kinabalu Park, kami mula mendaki jam 11.15 pagi diiringi 4 orang malim gunung. Boleh dikatakan kami adalah kumpulan pendaki yang paling lewat memulakan pendakian pada hari itu.

Dalam 19 org kumpulan kami (7 lelaki dan 12 perempuan), seingat aku hanya 3 orang shj termasuk aku yg tidak mengupah porter utk membawa barang naik ke Laban Rata atau dikenali juga sbg Panalaban, iaitu base camp kepada GK. Satu kilo = RM13.00. Bukan kedekut, tapi aku yakin aku mampu bawa beg aku yg seberat 8 kilo itu. 4 kilo setengah sahaja ialah air, iaitu 3 kilo 100 plus dan 1 kilo setengah air mineral.

Aku tak bawa banyak pakaian. Tuala pun tak bawa. Utk ke Laban Rata, aku cuma bawa sehelai kain sarung, sehelai sapu tangan (tidak termasuk yg ada dlm seluar semasa mendaki), dan sehelai sapu tangan besar sbg tuala. Barangan yg lain ialah yg ada kaitan dgn pendakian spt. sarung tangan, baju sejuk, sehelai t-shirt, sehelai seluar dalam, baju hujan, lampu kepala, biskut, botol semburan air utk solat, spray utk elak kramp, coklat utk elak kram, dan pemanas tapak tangan dan tapak kaki.

Pakaian semasa mendaki ke Laban Rata ialah kasut, stokin, seluar 3 lapis termasuk 2 helai yg fit, satu panjang dan satu pendek paras lutut (jadi 4 lapis kalau seluar dalam dikira juga), dan baju 2 lapis termasuk sehelai yg fit. Mula-mula terasa sejuk juga, tapi bila tubuh dah panas dan berpeluh sejuk hilang dgn sendirinya. Suhu di Timpohon tempat mula mendaki lebih kurang 200 Celsius dan suhu di Laban Rata lebih kurang 120 C.

Aku ambil masa 5 jam 45 minit utk sampai ke Laban Rata. Ada 7 pondok perhentian semuanya. Dlm perjalanan dari pondok ke-3 ke pondok ke-4, aku mula rasa gejala AMS (Sindrom Gunung Akut), iaitu pening dan mual nak muntah. Aku terus berhenti makan biskut kerana kalau aku terus makan biskut aku mungkin akan muntah. Kalau muntah, tenaga dan air akan banyak hilang. Jadi aku cuba bertahan dan kawal mental seperti yg biasa aku lakukan semasa marathon.

Letih tak payah tanyalah lah. Bohong kalau aku cakap tak letih. Ya lah aku kan pikul beg 8 kilo. Baru tahu betapa seksanya mendaki GK. Menyesal pula rasanya ego tak mahu upah porter bawa barang. Tapi sebenarnya antara sebab aku tak upah porter sebab aku hanya bawa satu beg sahaja. Kalau nak upah porter, sepatutnya aku bawa dua beg, iaitu satu beg besar dan satu lagi beg kecil. Barangan utk pendakian ke puncak aku masukkan dlm beg besar utk dibawa oleh porter. Aku cuma bawa beg kecil utk ke Panalaban. Begitulah yg sepatutnya jika kita merancang utk upah porter bawa barang kita ke Panalaban. Tapi aku memang merancang utk tidak mahu upah porter. Sebab itulah aku sumbat semua barang dlm satu beg besar. Sebab itu aku tak bawa banyak pakaian.

Semasa pendakian, hujan mulai turun, iaitu tidak lama selepas aku mula rasa nak muntah sebelum itu. Terpaksalah berhenti sekejap utk keluarkan baju hujan. Aku silap sebab beli baju hujan yg kecik, tak mampu nak cover seluruh beg sandang yg besar tu. Jadi bahagian bawah beg aku basah kena hujan. Biskut yg ada di bahagian bawah juga basah dan pecah akibat tekanan udara dan tekanan drp barangan yg lain dlm beg. Ilmu pertama yg aku dapat semasa pendakian ini ialah pek biskut yg aku bawa dlm kocek seluar aku jadi kembang. Baru aku tahu, gejala tersebut berpunca daripada tekanan yg semakin tinggi apabila kita semakin jauh ke atas. Sebelum ni, geng2 hiking tak pernah pun bagi tahu aku perkara ini. Mungkin sebab mereka tak makan biskut kot semasa mendaki.

Aku mendaki dgn pace yg biasa, tidak laju dan rasanya tidaklah lambat sangat. Antara kami 19 org, aku kira tengah-tengah lah. Dr. Khai paling laju, 4 jam 45 minit, satu jam lebih awal drp aku tiba ke Panalaban. Kalau tak bawa beban 8 kilo mungkin aku lebih laju sikit lagi kot (ha ha). Cabaran semasa pendakian ke Panalaban bagi aku tidak lah teruk sangat. Cuma kena kuat stamina dan mental. Cuma sedikit sukar antara pondok ke-5 hingga ke-6 sebab hujan. Ada satu tempat terpaksa guna tali yg disediakan sebab takut tergelincir. Kalau tak hujan mungkin tak ada masalah rasanya.

Aku tiba di Laban Rata jam 5 petang sekali dgn Mas dan Sha. Aku terus naik ke bilik hostel utk solat Asar dan Zuhur jamak takkhir. Lepas tu baru turun ke kantin utk makan malam. Kantin tutup jam 6 petang, iaitu kebetulan dgn masuknya Maghrib waktu itu. Lepas makan, masuk semula ke hostel yg dlm bentuk dom. Satu bilik ada lebih kurang 15 buah katil. Malam tu cuma ada 9 org sahaja yg menginap di dalam dom tersebut, iaitu 6 org drp geng lelaki bersama aku dan 3 org pendaki dari negara yg lain (mungkin 2 drpnya dari Jepun dan seorang lagi dari Pakistan).




Masa nilah aku baru rasa sangat sejuk walaupun duduk berselimut tebal. Tangan aku pegang objek pemanas tapak tangan yg aku bawa tersebut. Mula-mula rasa tak panas pun. Rasa macam kena tipu dengan penjual yg aku beli di Dechatlon, Shah Alam. Ya lah sebab tubuh kita masa tu masih lagi sejuk. Namun, lama-lama setelah tubuh mula rasa panas sikit, barulah aku dapat rasakan objek tersebut memang sangat panas, khususnya jika diramas-ramas di tapak tangan. Bila masuk Isyak, aku solat Isyak dan Maghrib jamak takkhir. Solat dalam keadaan terketar-ketar kesejukan.

Malam tu aku cuma tidur dalam tempoh 2 hingga 2 jam setengah sahaja, sebab jam 1 pagi kami dah kena bangun utk persiapan mendaki ke puncak. Memang susah nak melelapkan mata kerana kesejukan. Selepas sarapan pagi jam 2 pagi, kami mula menuju puncak GK bermula jam 2.45 pagi. Ketika ini aku teringat satu pepatah Arab yg menyebut “sesiapa yg mencari kegemilangan, ia akan berjaga malam”. Ada baik juga mendaki waktu awal pagi ni sebab kita tak nampak sangat pandangan bawah. Cuma nampak cahaya lampu sahaja. Kalau nampak pandangan bawah ketika mendaki ke puncak, bahaya bagi mereka yg ada penyakit gayat macam aku ni (ha ha pecah rahsia).

Ketika mendaki ke puncak GK ini, ada tiga tempat yg aku terpaksa mendaki guna tali yg disediakan. Ada satu tempat tu kira bahaya juga. Pendaki di depan aku sampai 3 kali tergelincir, tapi masih boleh berpegang pada tali. Kerana bimbang dia tergelincir lagi dan mungkin membahayakan aku, aku ambil keputusan potong sahaja pendaki tersebut ikut jalan kiri sebelah dia. Aku tak pasti berapa ratus org yg mendaki pagi itu. Mungkin dalam 300 org agak aku. Pendakian pagi Sabtu memang ramai berbanding hari-hari yg lain.




Setelah sampai ke bahagian yg agak landai berhampiran puncak, barulah hati ini berasa lega, sebab lokasi sukar sudah berjaya dilepasi. Namun ketika ini badan terasa sangat letih. Lima hingga 10 langkah berjalan, berhenti ambil nafas. Bila masuk Subuh jam 4.45, aku masih jauh lagi untuk mencapai puncak yg sebenar walaupun nampak dekat dgn mata kasar. Jam 5.30 aku berhenti utk solat Subuh menggunakan air semburan yang dibawa. Solat atas batu yg hampir landai. Kiblat guna ijtihad sendiri dengan melihat arah matahari terbit.

Masa sembur air ke muka, ingatkan akan terasa sejuk (suhu di puncak dianggarkan 8 – 10 darjah C), tapi sebenarnya taklah sejuk sangat sebab tubuh kita ketika itu telahpun adopt atau menyesuaikan diri dengan suhu dan cuaca sejuk waktu itu. Selesai solat, aku seperti mendapat tenaga baharu utk meneruskan misi menawan puncak GK. Akhirnya aku sampai di puncak kira-kira jam 6.30 pagi. Terpaksa beratur utk naik ke puncak dan bergambar. Seseorang pendaki hanya dibenarkan berada di puncak sekitar 2 – 3 minit sahaja utk bergambar.




Nasihat aku kpd sesiapa yg mahu mendaki GK, tak payahlah ego macam aku. Bawa dua beg kecil sahaja. Satu utk kita bawa barangan semasa mendaki, satu lagi utk dibawa oleh porter yg kita upah. Berapalah sangat dgn 1 kilo = RM 13 itu, tak sampai pun RM 100. Jangan ambil risiko, khususnya jika anda bukan kaki marathon dan tidak pernah mendaki sebelum ini. Kalau anda kram dan terpaksa diusung bawa turun, upahnya bukan sedikit. RM 500 utk satu kilo. Masa aku turun dari GK, ada dua orang yg aku lihat didukung bawa turun oleh malim gunung yg potong aku. Kedua-duanya perempuan, seorang Cina (atau Jepun) seorang lagi Melayu. Mungkin ada lagi yg di belakang aku tak pasti.

Untuk nasihat yg selebihnya kena face to face dgn aku la. Tak larat nak tulis banyak-banyak kat sini. Korang pun bukannya nak baca sangat pun. Ha ha .... OK setakat itulah coretan aku sedikit sebanyak pengalaman mendaki Gunung Kinabalu. Semua yg berlaku atas kehendak Allah. Banyak-banyaklah berdoa dan berzikir semasa mendaki.




Terima kasih kepada semua sahabat yg terlibat dlm pendakian GK, termasuk teman-teman drp KIKFit’87 yg sentiasa meracuni aku utk mendaki dan terus mendaki.

#MENDAKI SATU IBADAH

Sekian, terima kasih .....

Dr. Mohd. Hilmi b. Abdullah
27 Okt 2019










No comments:

Post a Comment