Saturday, November 3, 2012

Cerpen "Poligami"


 Poligami

            Hujan masih turun dengan lebatnya. Sudah setengah jam lebih Yusuf tercegat di pintu jendela biliknya. Matanya merenung jauh ke langit. Kelam. Gelap. Belum ada tanda-tanda yang hujan akan reda. Bagi Yusuf, deruan hujan yang turun tersebut seolah-olah bersimpati dengan nasib dirinya sekarang ini.

            “Hujan seakan lebih memahami akan nasib diriku …”. Keluh Yusuf dalam hatinya. Yusuf masih lagi teringat akan senda gurau rakan-rakannya.

            “Kalau seorang di Kutub Utara, seorang lagi di Kutub Selantan, apa guna kawin, buat sakit hati aje”. Kata Rosli. Berderai gelak tawa rakan-rakannya yang lain.

            “Kalau aku, dah lama aku kawin dua Suf !”. Celah Badrul di tengah-tengah gelak tawa tersebut. Yusuf  hanya diam membisu sahaja.

Peristiwa diperli kawan-kawan petang itu cukup menjadikan hatinya serba salah dan marah. Marah pada dirinya sendiri kerana membenarkan Zulaikha pergi. Atau mungkin marah kerana kesal memilih Zulaikha sebagai pasangan hidupnya. Tiba-tiba saja fikiran Yusuf terlontar ke arah wajah isterinya Zulaikha. Mereka berdua hanya berkahwin baru enam bulan setelah Zulaikha menamatkan pengajiannya di sebuah maktab perguruan. Sekarang ini sudah empat bulan Zulaikha mengajar di sebuah sekolah di Johor Bharu, sedangkan Yusuf mengajar di sebuah sekolah di Padang Besar, Perlis.

            Yusuf bukan tidak pernah terfikir untuk berkahwin dua. Sebulan selepas isterinya mengajar di Johor Bharu, Yusuf mula berangan-angan untuk berkahwin dua.

            “Kalau aku masuk minta, mesti ada perempuan yang sanggup. Aku ni guru lepasan ijazah, gaji pun dah besar, kereta baru pulak”. Bisik Yusuf dalam hatinya.

            “Shakila, pelajar enam atas tu boleh tahan jugak. Orangnya berkulit putih, hidung mancung, tak kurus dan tak gemuk. Perempuan macam inilah yang aku idamkan selama ini”. Yusuf mula berkira-kira untuk memikat Shakila, gadis bertubuh langsing yang menjadi perhatian guru lelaki di  sekolahnya itu.

            “Kau tak fikir ke nak kawin dua Suf?”. Tanya Salman semasa mereka berdua di bilik guru.

            “Bukan senang nak kawin dua Man. Manalah ada perempuan yang nak kat aku. Lagi pun, susah nak kawal perempuan ni. Sekali merajuk susah dibuatnya”. Yusuf cuba berdalih di hadapan Salman, kawan sekerja yang paling rapat sekali dengannya.

            “Alaah, biasalah tu, perempuan katakan. Kalau merajuk pun tiga bulan aje. Yang penting kau mesti berlaku adil. Kalau boleh kau lebihkan giliran untuknya. Lama-lama sejuklah hatinya”. Salman cuba meyakinkan Yusuf yang nampak kurang berminat dengan topik perbincangan tersebut.

            “Cakap memang senang Man. Lagi pun bukan kau yang nak kawin, tapi aku. Kalau berlaku apa-apa, aku jugak yang susah, bukannya kau”. Yusuf sekali lagi cuba menyembunyikan keinginannya untuk berkahwin dua. Tujuannya supaya Salman tidak mengesyaki apa-apa sekiranya beliau cuba memikat Shakila suatu hari nanti.

            “Assalamu‘alaikum”, seorang perempuan memberi salam kepada Yusuf ketika dia berada di ruang pejabat sekolahnya pada suatu hari.

            “Wa‘alaikumussalam”, jawab Yusuf. Dia begitu terkejut dan tergamam melihat gadis manis yang berwajah kacukan Hindustan tersebut.

            “Ada apa-apa yang perlu saya bantu?”. Spontan Yusuf  mencelah.

            “Tumpang tanya, di mana tempat saya boleh melapor diri?”. Sampuk guru baru yang bernama Zaleha itu kepada Yusuf yang masih terpegun dengan kecantikannya dan susuk tubuhnya yang menggiurkan itu.

            Sejak kedatangan Zaleha ke sekolah itu, Yusuf mula menjadi serba salah sama ada untuk cuba memikat Shakila atau pun mahu mencuba Zaleha. Bagi Yusuf kedua-duanya sama cantik, lebih cantik daripada isterinya Zulaikha. Malah perempuan seperti Shakila dan Zalehalah, perempuan yang diidam-idamkannya semasa menuntut di Universiti Malaya dulu.

            “Shakila lima tahun lebih muda daripada Zaleha. Tapi budak tu agak lincah sedikit. Dalam kelas pantang ditegur budak lelaki, reaksinya menyerlah dengan senyuman menawan. Masa aku mengajar pun, matanya galak melihatku, bukannya nak dengar apa yang diajar. Patutlah pelajarannya tak berapa menonjol”. Fikir Yusuf semasa keseorangan dalam bilik guru.

            “Zaleha pula sebaya dengan isteriku. Tapi dai ni agak “rugged” sedikit. Datang ke sekolah pakai baju ketat, tudung pun kecik aje, tak sampai paras dada”. Yusuf terus termenung memikirkan langkah susulan yang patut dilakukan seterusnya.

            Setelah buntu memikirkan persoalan ini, Yusuf akhirnya pergi berjumpa dengan Ustaz Ghazali, guru yang paling tua dan yang paling dihormati kerana kewarakannya di sekolah itu.

            “Saya ada beberapa perkara yang hendak dibincangkan dengan ustaz”. Yusuf memulakan perbualan dengan Ustaz Ghazali dalam nada yang agak terketar-ketar.

            “Kalau Suf ada apa-apa masalah boleh kita bincangkan. Kalau ustaz boleh tolong, insya’Allah ustaz akan tolong”. Ustaz Ghazali melembutkan nada beliau untuk menenangkan Yusuf yang kelihatan sedikit gelisah.

            “Begini ustaz, ustaz pun tahu, isteri saya sekarang ini mengajar di Johor Bharu. Sejak isteri saya tinggalkan saya, hidup saya tak terurus, makan dan tidur pun tak tentu. Bagaimama ustaz, kalau saya mahu kawin seorang lagi”. Yusuf antara berani dan tidak untuk menyatakan keinginannya itu.

            “Kawin dua ni bukan tak boleh Suf, tapi banyak masalahnya. Apa yang berlaku sebenarnya tidak semudah apa yang kita fikirkan. Sekali fikir, memang kita lelaki rasanya kita boleh berlaku adil terhadap kedua-dua isteri kita. Tapi untuk berlaku adil ni memang susah. Perangai perempuan ni berbeza-beza. Isteri yang pertama ada karenahnya yang tersendiri. Begitu juga dengan isteri yang kedua. Apa yang dicakapkan sebelum kawin biasanya tidak berlaku selepas kawin”. Ustaz Ghazali bercakap berdasarkan pengalaman yang telah beliau lalui sebelum ini.

            Ustaz Ghazali memang pernah berkahwin dua pada masa beliau muda-muda dulu, sebelum isterinya yang kedua tersebut meninggal dunia akibat penyakit barah payu dara. Selepas itu, Ustaz Ghazali tidak berani lagi mencuba untuk berkahwin dua.

            Pada hari itu, Yusuf pulang ke rumah sewanya dalam keadaan lesu. Nasihat-nasihat yang  diberikan oleh Ustaz Ghazali tersebut sentiasa bermain-main dalam benak fikirannya. Pada malam itu, Yusuf menonton sebuah rancangan hiburan di televisyen. Salah seorang daripada artis yang menjayakan rancangan tersebut merupakan artis yang diminati ramai. Tapi sayangnya, sekarang ini dia telah menjadi ibu tunggal setelah diceraikan oleh suaminya.

            “Takkanlah suaminya bodoh sangat sampai sanggup menceraikan isterinya yang secantik itu”. Fikir Yusuf dalam hatinya. Mata Yusuf terus merenung tajam ke arah artis yang masih terkinja-kinja dan separuh seksi itu.

            “Wanita cantik tak semestinya mendatangkan kebahagiaan kepada seseorang lelaki. Berapa ramai kawanku yang beristeri cantik, tapi kehidupan mereka penuh dengan masalah”. Yusuf mula mencari formula untuk menyelesaikan masalah yang dihadapinya.

            “Kamal, kawanku semenjak di sekolah rendah lagi, sekarang terpaksa berulang alik ke mahkamah kerana tuntutan nafkah dan penjagaan anak oleh bekas isterinya. Isterinya yang dianggap sebagai malaikat sebelum kawin dulu, tetapi menjadi syaitan dalam rumahtangga selepas kawin”.

            “Razman pula telah mejelajah ke seluruh Semenanjung Malaysia untuk mencari bomoh dan pengamal perubatan tradisional. Isterinya yang bagaikan bidadari itu rupanya mengidap sejenis penyakit misteri yang belum dikenal pasti puncanya”.

            “Begitu juga dengan Roslan dan isterinya Samirah yang menjadi rebutan di kalangan kami semasa tingkatan lima dulu. Walaupun sudah lima tahun mereka berkahwin, tapi mereka masih buntu untuk mendapat anak dan mengatasi punca kemandulan isterinya”.

            “Allah itu adil”. Keluh Yusuf.

            “Setiap manusia ada kelemahan dan kelebihannya. Cuma aku sahaja yang tidak nampak akan kelebihan isteriku. Walaupun isteriku Zulaikha tidak secantik Lady Diana, tapi tidaklah pula boleh dianggap hodoh. Kalau tidak, masakan aku boleh terpikat denganya dahulu”.

            “Selama enam bulan perkahwinan kami, isteriku sentiasa taat dan melayan aku dengan sempurna. Ketika aku pulang mengajar, dia akan mengambil beg di tanganku, membuka butang baju kamejaku dan memicit-micit belakangku tanpa perlu disuruh-suruh, walaupun aku tahu dia ketika itu pun letih juga sepertiku”.

            “Lagipun, apalah sangat istimewanya Shakila tu. Di sekolah dia nampak bertudung mungkin kerana itu pakaian seragam yang diwajibkan. Kalau pergi shoping, entah-entah pakai T-Shirt dan berseluar panjang aje. Bahagiakah aku berkahwin degan wanita seperti itu?”.

            “Kenapa kau tak datang ke sekolah semalam Shakila”. Tanya Yusuf kepada Shakila pada suatu hari.

            “Minta maaf cikgu, saya sakit semalam”. Jawab Shakila dalam nada yang tak berapa jelas.

            “Awak jangan cuba nak tipu cikgu, Shakila. Tadi ada orang beritahu saya yang awak ke Langkawi semalam bersama mat-mat rempit. Awak mesti ingat Shakila, awak tu perempuan. Tak lama lagi dah nak jadi isteri orang”. Yusuf agak kecewa dengan sikap Shakila, gadis yang pernah diimpikannya untuk dijadikan isteri kedua baginya itu.

            “Zaleha pun lebih kurang sama aje. Pergi ke sekolah bertudung mini mungkin kerana malu pada ustazah-ustazah yang berjubah dan bertelekung labuh. Lagipun, dia tu baru saja putus tunang, sebulan sebelum mereka bercadang untuk berkahwin. Mesti ada apa-apa yang tak kena pada si Zaleha tu. Kalau tidak takkanlah tunangnya senang-senang nak lepaskan orang yang secantik dia tu”.

            Pernah pada suatu hari ketika Yusuf masuk ke bilik guru perempuan kerana berurusan dengan seorang ustazah, Yusuf ternampak Zaleha dan beberapa lagi kawannya sedang terbahak-bahak ketawa mendengar cerita daripada seorang guru bahasa Inggeris tanpa mempedulikan kehadirannya di situ.

            “Adakah orang seperti ini boleh diharapkan untuk menjadi permaisuri dalam rumahtanggaku?”. Yusuf melontarkan persoalan tersebut ke dalam sanubarinya.

            “Patutlah ada guru yang pernah berkata : “Kalau orang macam Shakila dan Zaleha tu, satu lori pun aku boleh cari !”.

            “Setiap manusia ada kelebihan dan kekurangannya. Cuma aku sahaja yang hanya nampak kelebihan yang ada padaku dan aku fikir kononnya dengan kelebihanku itu, aku mampu memikat semua wanita. Aku lupa akan kekuranganku lantaran keegoanku sendiri. Jika inilah yang berlaku, mampukah aku berlaku adil sekiranya aku berkahwin dua”.

            “Selama enam bulan perkahwinan kami, aku jarang sekali melayani isteriku dengan sebaik mungkin. Ketika isteriku mengadu sakit kepala dan minta diurut, tergamak aku menjawab : “Lepas ni laa, abang tengah sibuk ni. Abang mesti siapkan ‘assingment’ ni malam ni jugak. Kalau tak siap, pasti pengetua akan marah abang esok”.

            “Ketika isteriku muntah-muntah kerana alahan dan minta dibawa ke klinik, entah macam mana tanpa berfikir aku berkata : “Esok ajelah, sekarang ni dah nak masuk waktu Isyak. Lepas ni ada siaran langsung bolasepak. Lagipun awak tu bukannya sakit sangat. Belum pernah abang dengar orang mati kerana alahan mengandung”.

            “Tapi isteriku yang setia itu terus sabar dengan perangai dan karenahku”.

            “Selama isteriku berada di rumah, beliaulah yang selalu mengejutkan aku bangun sembahyang Subuh. Dan selama ketiadaannya ini, rumahku sunyi daripada bacaan ayat-ayat suci al-Quran”.

            “Abang, bangun la bang. Dah masuk Subuh dah ni. Dah pukul enam pagi”.

            “Alaa, masih awal lagi. Terbit matahari kan pukul tujuh lebih. Kejap lagi abang bangun la”.

            “Abang, bagunlah cepat, kita sembahyang Subuh berimam. Dah seminggu lebih Ha sembahyang seorang diri. Tak ‘best’ la macam ni”.

            “Ye lah, ye lah, abang bangun ni. Selagi kita tak bangun, selagi tu lah dia membebel. Nak tidur sikit lagi pun tak boleh”.

            “Suf, isteri kau mana. Dia tak balik ke minggu ni?”.

            “Oh ! Mak Cik Limah. Minggu ni Zulaikha tak balik la mak cik. Katanya ada program sukan di sekolahnya hari ni”.

            “Mak cik tanya bukan apa Suf. Sebab tiap-tiap pagi Ahad, mak cik selalu dengar dia mengaji Quran lepas Subuh. Merdu sungguh suaranya Suf. Rindu mak cik nak dengar”.

            Terkejut dengan pujian Mak Cik Limah terhadap isterinya itu, lidah Yusuf kelu untuk mengeluarkan kata-kata. Beliau hanya mampu tersenyum sambil menundukkan kepalanya ke bawah.

            “Bertuah kau dapat kawin dengan dia Suf. Tak perlu lagi kau ajar dia hal-hal agama. Taklah macam mak cik masa muda-muda dulu. Dah lah tajwid tak betul, hukum hakam pun banyak yang tak tau. Mujurlah pak cik kau tu sedikit sebanyak boleh ajar mak cik”.

            Mendengar kata-kata Mak Cik Limah, jiran sebelah rumahnya itu, Yusuf merasa malu kepada dirinya sendiri. Apakan tidaknya, sebagai seorang lelaki, dialah yang sepatutnya membimbing isterinya. Tapi ini tidak, dia pulak yang sentiasa perlu ditegur dan diberi nasihat.

            “Oh ! Zulaikha, sebenarnya aku tidak layak untuk menjadi suamimu. Aku malu kerana menjadi suami yang dayus selama ini. Kau sepatutnya bersuamikan orang yang setaraf dengan kau. Aku malu, malu, malu …”.

            “Ya Allah, adakah aku ini telah menjadi suami yang baik ? Lupakah aku kepada sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud : “Sebaik-baik lelaki antara kamu ialah mereka yang berbuat baik kepada ahli keluarganya”.

            “Ya Allah, masih adakah jalan untukku mengubah diriku ini ? Aku bersyukur kepada-Mu kerana telah memilih Zulaikha sebagai isteriku. Rupanya Kau lebih mengasihi akan diriku daripada aku sendiri mengasihi akan diriku sendiri”.

            “Berapa ramai lelaki yang sesat kerana wanita. Sesat kerana mereka gagal mengenali kelemahan mereka sendiri. Sesat kerana mereka gagal membezakan antara kaca dan permata”.

            “Sekarang ini isteriku sedang mengandung anak sulung lima bulan. Tidakkah ini adalah tanda kesetiaan dan pengorbanannya kepadaku? Sanggupkah aku menyakiti hatinya dan anak di dalam kandungannya itu? Sanggupkah aku …?”.

            “Ya Allah, apakah aku sangat bebal untuk memahami semua ini? Lupakah aku bahawa dunia ini hanyalah perhiasan. Dan sebaik-baik perhiasan dunia itu ialah wanita yang solehah …?”.

            Hujan semakin reda. Tiba-tiba Yusuf terkejut daripada lamunannya yang panjang tersebut dan terus bergegas ke bilik air untuk mengambil wuduk. Jam di dinding berdenting satu kali menandakan hari sudah larut malam. Selepas selesai sembahyang sunat dan sedikit wirid, Yusuf menadah tangan berdoa kepada Allah, Tuhan Yang Maha Mengetahui lagi Maha Mengasihani.

            “Ya Allah ya Tuhanku, Engkaulah Yang Maha Mengetahui apa yang ada dalam hatiku ini. Oleh itu, bersihkanlah hati ini jika ianya kotor dan limpahkanlah ia dengan iman dan taqwa kepada-Mu, ya Allah”.

            “Ya Allah, hati ini lemah untuk menangkis segala fitnah dari hamba-Mu yang bergelar wanita. Oleh itu, perkuatkanlah hati ini sebelum ianya jatuh ke lembah kemaksiatan kepada-Mu, ya Allah”.

            “Ya Allah, aku redha dengan segala ketentuan-Mu, ya Allah. Oleh itu, tabahkanlah hati ini agar dapatku meneruskan kehidupan ini dalam ketaqwaan kepada-Mu, ya Allah”.

            “Ya Allah, jadikanlah cubaan yang Kau berikan kepadaku sekarang ini sebagai kifarah dosa-dosaku terhadap isteriku selama ini dan gantikanlah ia dengan pahala dan syurga-Mu, ya Allah”.

            “Ya Allah, ya Tuhanku, jadikanlah diriku ini suami dan bapa yang mithali dan jadikanlah rumahtangga kami syurga kami di dunia ini”.

            “Ya Allah, jadikanlah isteriku Zulaikha kekasihku yang pertama dan yang terakhir. Jadikanlah ia penawar hidupku di dunia dan bidadari hidupku di akhirat”.

            “Ya Allah, ya Tuhanku, Engkaulah Yang Maha Pengampun, maka ampunilah dosa-dosaku dan Engkaulah Yang Maha Pengasih, maka maqbulkanlah doa-doaku ini. Ya Allah, ya Rabbal‘alamin …”.

            Pada malam itu, Yusuf tidur bermimpikan sekumpulan bidadari mengelilingi beliau di sebuah taman yang penuh dengan bunga-bungaan. Salah seorang daripada bidadari tersebut datang memegang tangan Yusuf, lalu mengajaknya menari. Bidadari itu ialah isterinya, Zulaikha.

TAMAT
(April 2000)
* Nota : Cerpen ini telah disiarkan dalam majalah Anis, Januari 2001 dgn judul Hujan Hati.

No comments:

Post a Comment