Tuesday, October 30, 2012

Cerpen "Bunuh Senyap Sdn. Bhd."


BUNUH SENYAP SDN. BHD.

Oleh :   Dr. Mohd. Hilmi b. Abdullah
            pustakahilmi@yahoo.com
            pustakahilmi.blogspot.com

Hari pertama (Sabtu) :

            Datuk Sudin membetulkan kaca mata bilah separuh yang dipakainya itu. Dua tiga kali dia menjauhkan dan mendekatkan kaca mata itu dari biji matanya. Dia seperti tidak percaya dengan apa yang telah dilihat dan dibaca olehnya sebentar tadi.

            “Betulkah ada syarikat seperti ini? Kalau tak betul, tak kan ada pula nombor pendaftaran syarikat dengan SSM? Siap dengan nombor telefon, e-mail, dan laman web sekali? Berani sungguh orang ini? Pihak polis tak pernah siasat ke”?

            Datuk Sudin menggeleng-gelengkan kepalanya. Nampaknya Datuk Sudin masih tidak percaya bahawa dia telah menerima sekeping kad bisnes daripada seorang lelaki ketika dia berada di dalam bilik air selepas bersarapan pagi di Hotel Hilton, Petaling Jaya. Datuk Sudin menginap di Hotel Hilton semenjak semalam kerana pada pagi itu dia akan menghadiri mesyuarat berkaitan ketuanan Melayu dan agama Islam yang dijadualkan berlangsung di hotel lima bintang tersebut.

            Bagi Datuk Sudin, isu-isu yang berkaitan dengan ketuanan Melayu dan agama Islam yang sejak akhir-akhir ini semakin tercalar dan tercabar menjadi keutamaan beliau sekarang ini kerana inilah platform terbaik bagi beliau untuk membina imej yang baik dan terhormat di mata masyarakat. Bagi Datuk Sudin, inilah peluang terbaik beliau bagi menebus balik segala dosa-dosa yang telah beliau lakukan sebelum ini.

            “Aku mahu mati sebagai pejuang Melayu dan Islam. Aku mahu dikenang sebagai ikon rakyat marhain Melayu / Islam yang menuntut hak dan keadilan yang semakin terhakis sekarang ini. Kenapa ini harus berlaku di dalam negara nenek moyang mereka sendiri”? Soal Datuk Sudin berkali-kali dalam dirinya sambil menggeleng-gelengkan kepala.

            “Malam ni saya nak Datuk berucap dengan penuh semangat dan berapi-api. Biar para pemuda tu faham apa erti perjuangan yang sebenarnya. Biar mereka tahu apa sebenarnya maksud biar putih tulang, jangan putih mata. Tak kan kita nak terus biarkan kera di hutan disusukan, sedangkan anak dikendong mati kelaparan”.

            Mat Senik yang baru setahun menjadi Setiausaha Politik Datuk Sudin itu begitu bersungguh-sungguh mahukan bosnya berucap pada malam perhimpunan dengan para pemuda Badan Bertindak Menyelamat Melayu / Islam (Bertindak) yang akan diadakan di sebuah kawasan lapang di hadapan bangunan PKNS, Shah Alam.

            Selesai bermesyuarat, Datuk Sudin kembali ke bilik penginapannya. Otaknya masih lagi ligat memikirkan tentang kad bisnes yang baru diterimanya pada pagi itu. Datuk Sudin mundar mandir di dalam bilik hotelnya itu. Sekejap dia duduk di atas tilam, sekejap di atas kerusi. Puas duduk, Datuk Sudin menjengok ke luar tingkap, kalau-kalau ada orang sedang memerhatikannya.

            Setelah hampir sejam berfikir, bertafakur, dan bermuhasabah, Datuk Sudin akhirnya memberanikan diri menghubungi nombor telefon yang tercatat pada kad bisnes tersebut.

            “Hello. Boleh saya tolong”. Kedengaran suara daripada seorang lelaki yang dipercayai berketurunan Cina menjawab panggilan Datuk Sudin.

            “Saya nak bincang pasal bisnes dengan you. Saya sekarang ini di Hotel Hilton, Petaling Jaya. Di mana kita boleh jumpa”? Suara Datuk Sudin sedikit terketar-ketar. Datuk Sudin berada dalam keadaan takut, bimbang, keliru, dan bingung dengan situasi yang sedang dihadapinya ketika ini. Datuk Sudin mula merasai peluh jantan membasahi bahagian belakangnya.

            “Jumpa saya 30 minit dari sekarang di seberang lebuh raya di hadapan bangunan TNB. Bila sampai, perhatikan kereta Innova hitam dan terus masuk ke dalam. Ingat hanya kita berdua sahaja”. Suara lelaki Cina itu nampak tegas memberikan arahan.

            Datuk Sudin, membuka beg pakaiannya, lalu mengeluarkan rambut dan misai palsu, sebelum menuju ke dalam tandas bilik hotelnya. Di hadapan cermin di dalam tandas itu, Datuk Sudin membetul-betulkan kedudukan rambut dan misai palsunya itu supaya betul-betul kelihatan seperti rambut dan misai yang asli. Kepala botak tengah dan rambut beruban Datuk Sudin kini sudah tidak kelihatan lagi. Pendek kata, Datuk Sudin 15 tahun lebih muda daripada umurnya yang sebenar.

            Dengan mengenakan cermin mata hitam, Datuk Sudin bergegas keluar dari Hotel Hilton menuju ke tempat yang dijanjikan. Sebaik sahaja mengenalpasti kereta Innova hitam yang dimaksudkan, Datuk Sudin terus membuka pintu kereta dan duduk di bahagian hadapan sebelah pemandu. Belum pun sempat Datuk Sudin membuka mulut, lelaki Cina itu terus menutup mulut Datuk Sudin.

            “Hanya saya yang bertanya. Kamu hanya perlu menjawab”. Datuk Sudin mengangguk-anggukkan kepalanya tanda setuju. Jantungnya semakin kencang berdenyut. Jelas sekali lelaki ini bukan sebarang orang. Lelaki pembunuh upahan ini kelihatan seperti seorang bekas komando.

            “Apa urusan bisnes yang kamu maksudkan”? Lelaki itu memulakan bicara.

            “Aku mahu kamu bunuh seseorang”.

            “Kenapa kamu mahu saya bunuh dia”?

            “Dia seorang pemimpin yang korup. Minumannya ialah arak, hobinya ialah judi. Siangnya dia bermesyuarat dengan ulama. Malamnya dia bermesra dengan artis. Bukan seorang artis, tapi dah banyak artis yang telah diratah olehnya. Sekarang ni ada seorang selebriti TV yang sedang mengandungkan anaknya. Jadi, lebih baik dia mati secara ‘terhormat’ sebelum skandal ini terdedah”.

            “Isteri dia tidak tahu ke”? Datuk Sudin sedikit terkejut dengan soalan yang tidak dijangka-jangka daripada lelaki Cina itu. Namun, dia sedar yang dia hanya perlu menjawab tanpa boleh bertanya kenapa dan mengapa.

            “Isteri dia memang tahu, tapi buat-buat tak tahu. Bagi isteri dia, lebih baik suaminya ada sepuluh perempuan simpanan daripada dia hidup bermadu dengan seorang betina perampas suami orang. Lagi pun, isterinya telah dirasuah dengan barangan kemas puluhan ribu ringgit dan pakej pelancongan ke luar negara empat bulan sekali”.

            Ketika ini Datuk Sudin menundukkan kepalanya. Tangan kirinya memegang dahi, manakala siku kirinya bertongkat pada pintu kereta. Kemudian, perlahan-lahan Datuk Sudin menggeleng-gelengkan kepalanya, sambil jari-jemarinya mengurut dahi. Gelagat Datuk Sudin ini bagaimanapun hanya diperhatikan begitu sahaja oleh lelaki Cina tersebut tanpa sebarang reaksi. Sebentar kemudian, Datuk Sudin kembali berbicara.

            “Lagi pun, jika dia mati, pilihanraya kecil akan diadakan. Semua masalah penduduk di kawasannya akan selesai dalam tempoh yang singkat. Selama ini pun dia telah acap kali bersuara di Parlimen, tetapi dibuat endah tak endah sahaja oleh pihak berkuasa. Malam ini dia akan berucap tepat pada pukul lapan. Dia memakai baju Melayu berwarna biru”.

***   ***   ***

Hari kedua (Ahad) :

            Seperti biasa pada cuti hari minggu, Sumardi akan menghabiskan masanya melepak-lepak di sekitar bandaraya Kuala Lumpur. Maklumlah, bekerja enam hari seminggu amat memenatkan, fizikal dan mental. Bagi Sumardi yang sudah lebih setahun bekerja sebagai buruh kasar di sekitar Lembah Kelang, kehidupan di negara tetangga Malaysia ini jauh lebih baik berbanding kesusahan hidup yang pernah dialaminya di pulau Lombok, Indonesia.

            Namun, pada hari ini Sumardi memilih untuk menaiki LRT menuju Putrajaya. Sudah lama Sumardi berkeinginan untuk melihat dengan lebih dekat Dataran Wira Negara yang baru dirasmikan oleh Perdana Menteri tiga bulan yang lalu. Setakat ini sudah tiga orang wira negara disemadikan di dataran tersebut, iaitu bekas Perdana Menteri, bekas jaguh badminton negara, dan bekas ahli korporat yang berjaya dan banyak berjasa kepada negara dan masyarakat.

            Semasa di dalam LRT, Sumardi melihat ramai penumpang yang mengambil kesempatan membaca akhbar sementara menunggu LRT singgah di Putrajaya. Ramai juga penumpang yang hanya mengelek akhbar di bawah ketiak masing-masing. LRT yang lima gerabak itu penuh sesak hari ini. Sumardi juga menyedari terdapat dua tiga orang wanita Melayu yang asyik memerhatikan susuk tubuknya yang tegap itu. Nampaknya, begitu ramai sekali yang mengambil kesempatan bersiar-siar di Putrajaya sempena cuti hujung minggu. Begitulah fikir Sumardi dalam dirinya.

            Sebaik tiba di Dataran Wira Negara, alangkah terkejutnya Sumardi melihat lautan manusia sudah memenuhi dataran yang seluas 500 meter X 300 meter persegi itu. Nampaknya hari ini ada seorang lagi wira negara yang akan disemadikan di sini. Dalam keadaan kehairanan itu, Sumardi tiba-tiba disapa oleh seorang budak lelaki yang menjual surat khabar, burger, dan air minuman yang diletakkan di atas sekeping kayu yang disangkut pada lehernya. Sumardi lantas membeli akhbar mingguan tersebut, lalu terus menuju ke suatu sudut yang menempatkan pondok rehat.

            Tanpa menghiraukan orang ramai yang lalu lalang, Sumardi terus membaca akhbar tersebut dari satu berita ke satu berita yang lain, dan dari satu halaman ke halaman yang berikutnya. Pendek kata, hampir separuh berita yang dimuatkan adalah berkaitan wira negara yang akan disemadikan sebentar sahaja nanti.

................................
(Muka hadapan, tajuk utama berita)
Datuk Sudin Mati Ditembak
            Shah Alam, 5 Jun : Semasa berucap dalam satu perhimpunan anjuran Badan Bertindak Menyelamat Melayu / Islam (Bertindak) di sini malam tadi, pengerusi NGO yang mewakili suara orang-orang Melayu itu, Datuk Sudin bin Rahmat mati ditembak sebaik sahaja beliau memulakan ucapan, kira-kira jam lapan malam. YB Datuk Sudin yang dipercayai ditembak oleh pembunuh upahan itu mati serta merta di tempat kejadian apabila sebutir peluru tepat menembusi jantungnya.

            Menurut Ketua Polis Shah Alam, ASP Johari Mamat, siasatan awal mendapati pembunuh upahan itu dipercayai melepaskan tembakan dari sebuah bilik hotel murah yang terletak betul-betul berhadapan dengan pentas utama VIP. Sebaik melepaskan tembakan, pembunuh profesional tersebut melarikan diri dengan sebuah motosikal berkuasa tinggi yang sedia menanti di bahagian luar hotel berkenaan. Sehingga kini, pihak polis masih lagi menyiasat motif pembunuhan tersebut dan mengenalpasti suspek-suspek yang terlibat.

            Dalam perkembangan yang sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Hisyamuddin Abdullah memberi jaminan bahawa kematian YB Datuk Sudin yang juga Ahli Parlimen Tanjong Malim itu akan mendapat pembelaan yang sewajarnya.

            “Kita akan memastikan pilihanraya kecil (PRK) yang akan diadakan nanti menyaksikan cita-cita dan perjuangan YB Datuk Sudin tidak sia-sia. Saya juga telah mengarahkan agar YB Datuk Sudin disemadikan di Dataran Wira Negara. Satu upacara bagi memperingati jasa-jasa YB Datuk Sudin akan diadakan pagi esok bertempat di dataran tersebut”.

            Berkaitan PRK Parlimen Tangjong Malim ini juga, Menteri Kerja Raya, Datuk V.K. Mutusamy memberi jaminan bahawa pihaknya akan memulakan segera projek lebuh raya Tanjong Malim – Tanjong Karang yang akan menghubungkan dua lebuh raya utama negara, iaitu lebuh raya PLUS dengan lebuh raya Changkat Jering – Sepang.

            “Pihak pembangkang jangan kata ini projek mee segera, atau gula-gula pilihanraya. Sebenarnya Unit Perancang Ekonomi (EPU) telah lama meluluskan projek ini, dan kabinet pada bulan lepas telah pun mempersetujuinya. Jadi pihak kami akan segera melaksanakan projek ini demi kebaikan dan kemudahan penduduk-penduduk Tanjong Malim”.

            Sementara itu, Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Roslan Razali pula menjelaskan bahawa kementeriannya telah pun meluluskan dana sebanyak 2 bilion bagi memper-cepatkan projek pembinaan kampus tetap Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Proton City, Tanjong Malim, Perak.

            “Saya percaya, selepas ini mahasiswa-mahasiswi UPSI akan mendapat kemuda-han pendidikan yang terbaik bila projek ini siap sepenuhnya. Manakala, warga UPSI baik para pensyarah mahu pun kakitangan bukan akademik pula akan beroleh keselesaan dalam menjalankan tugas dan amanah yang diberikan”.

            Bagi Menteri Penerangan, Komunikasi, dan Multimedia, Dato’ Ong Kok Seng pula menegaskan bahawa pihaknya telah mengarahkan RTM dan Media Prima supaya segera membina menara pemancar bagi membolehkan para penduduk di Tanjong Malim, khususnya di sekitar Proton City dan Kota Malim Prima mendapat liputan siaran televisyen secara percuma.

            “Kita menyedari selama ini penduduk-penduduk di kawasan berkaitan terpaksa bergantung kepada Astro bagi menonton televisyen. Keadaan ini adalah tidak adil kerana bukan semua penduduk mampu memiliki Astro, termasuklah para pekerja kolar biru yang bekerja di kilang Proton di Proton City, Tanjong Malim”.

            Berbalik kepada tragedi pembunuhan YB Datuk Sudin, menurut Setiausaha Politik beliau, En. Mohd. Senik : “Saya percaya golongan yang menentang dan memusuhi kebangkitan orang-orang Melayu terlibat dalam pembunuhan ini. Pembunuhan ini jelas telah dirancang dengan teliti. Saya harap pihak polis dapat bertindak segera sebelum orang-orang Melayu bangkit menuntut bela”. – BERNAMA.

(Halaman 10)
Belasungkawa Untuk Seorang Wira Melayu
Oleh : Nur Farini bt. Majdi (wartawan bebas)

            Ketika kali pertama saya ke rumah YB Datuk Sudin yang terletak di kawasan perumahan mewah Proton City, Tanjong Malim, saya merasa malu kepada diri sendiri apabila saya pada ketika itu belum bersedia untuk bersolat Zuhur. Pada hari itu, saya dijemput oleh Datuk Sudin untuk makan tengahari di rumahnya. Sebaik sahaja saya sampai, Datuk Sudin mengajak saya menunaikan dahulu solat Zuhur sebelum menjamu selera. Menurut Datuk Sudin, kewajipan kepada Allah mestilah ditunaikan terlebih dahulu berbanding kewajipan kepada diri kita sendiri.

            Begitulah komitednya Datuk Sudin dalam mematuhi ajaran Islam yang sebenarnya. Namun, perkara yang paling menyentuh hati nurani saya ialah kesetiaan Datuk Sudin terhadap isteri tersayang Datin Rozita Muhammad. Walaupun Datuk Sudin seorang yang berkemampuan untuk berpoligami, Allahyarham tetap setia dengan seorang isteri sepanjang hidupnya. Seluruh kehidupannya hanya dicurahkan kepada isteri tersayang dan tiga anak mereka hasil perkongsian hidup selama 40 tahun.

            Ketika ditemuramah oleh penulis semalam, Datin Rozita ternyata tidak dapat menahan sebak mengenangkan pahit manis sepanjang hidup dengan Abang S, panggilan manja untuk Datuk Sudin. Menurut Datin Rozita :

            “Abang S adalah seorang suami dan bapa yang penyayang. Abang tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya terhadap kami sekeluarga walaupun beliau sentiasa sibuk sebagai wakil rakyat dan tugas-tugas dalam parti dan syarikat korporat. Abang S sentiasa memastikan 20% daripada gajinya sebagai Ahli Parlimen disumbangkan kepada Yayasan Sudin yang ditubuhkannya bagi membantu rakyat miskin, khususnya di kawasan Parlimen Tangjong Malim”.

            Saya pasti ramai yang tidak mengetahui bahawa Datuk Sudin merupakan seorang penderma organ yang menderma seluruh organ tubuhnya, termasuk tisu dan kulit. Oleh itu, apabila Datuk Sudin mati syahid ditembak semalam, saya terasa seperti tidak sabar-sabar untuk mengetahui insan bertuah yang akan menerima organ Datuk Sudin. Saya percaya, individu penerima organ tersebut sedikit sebanyak akan turut mewarisi darah perjuangan Datuk Sudin.

            Sementara itu, menurut Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Brigedier Jeneral (B) Datuk Zahari Borhan Al-Hafiz yang sempat saya temui semalam : “Saya akan mencadangkan kepada Majlis Fatwa Kebangsaan agar mengisytiharkan YB Datuk Sudin sebagai mati syahid. Hal ini kerana beliau mati ketika menyampaikan ucapan yang bersangkut paut dengan perjuangan menegakkan Islam dan keadilan. Jadi di sini jelas sekali beliau mati fi sabilillah. Oleh itu, jasad beliau tidak perlu dimandikan dan dikafankan”.

            Akhir kalam, moga-moga YB Datuk Sudin berbahagia di alam sana. Beliau sudah selesai menjalankan tugasnya di atas muka bumi ini. Bagaimana pula dengan kita semua? Al-Fatihah untuk YB Datuk Sudin.
.............................

            “Mesej. Meseej. Meseeej. Meseeeeej”.

            Tiba-tiba sahaja Sumardi dikejutkan dengan bunyi daripada telefon bimbitnya yang menunjukkan terdapatnya SMS masuk. Sumardi terus membuka dan membaca SMS yang dihantar melalui nombor persendirian itu. Jam di telefon bimbit menunjukkan waktu satu tengahari.

            “Jangan percaya dengan apa yang kamu baca semua tadi”.

            Sumardi mendongakkan kepala, melihat ke arah hadapannya. Kemudian, ia memaling ke arah kirinya, diikuti arah kanan dan belakangnya. Sunyi sepi. Senyap. Baru kini Sumardi perasan bahawa hanya dia seorang sahaja yang masih berada di Dataran Wira Negara tersebut. Sumardi berjalan kebingungan.

TAMAT
24 Mei 2010
Nota ; Cerpen ini telah disiarkan dalam akhbar Siasah pd akhir Mei dan awal Jun 2010.

No comments:

Post a Comment