Saturday, May 11, 2024

Rawatan Penyakit Otak dan Saraf (Jilid 1) : Sakit Kepala dan Bengkak Otak

 Otak adalah salah satu daripada tiga organ utama tubuh manusia selain hati dan jantung. Kajian tentang fungsi otak dalam pergerakan, deria, kognitif, emosi, pentaakulan, ingatan, dan sebagainya telah lama dikaji oleh para doktor sejak zaman tamadun Yunani lagi. Yang menariknya, pandangan Ibnu Sina dalam buku ini tentang perkara-perkara tersebut tidak banyak bezanya daripada pandangan perubatan moden hari ini.

 

Buku ini membincangkan pandangan Ibnu Sina tentang anatomi otak, hubungan otak dengan organ-organ tubuh yang lain, khususnya perut, perlakuan otak, mizak otak, dan penyakit-penyakit otak, khususnya yang berkaitan dengan sakit kepala dan bengkak pada otak yang melibatkan penyakit-penyakit seperti encephalitis phrenitis, encephalitis lethargica, migrain, sakit kepala topi keledar, sakit kepala akibat angin dan wap, agrypnocoma, hydrocephalus, kecederaan pada kepala, dan sebagainya. Sesungguhnya pandangan Ibnu Sina tentang penyakit-penyakit ini dan kaedah rawatan yang terlibat masih lagi relevan untuk diamalkan dalam zaman yang serba moden hari ini.


Tuesday, May 9, 2023

Hati Penjana Darah, Apa Kata Ibnu Sina?

Hati adalah salah satu daripada tiga organ utama tubuh manusia selain otak dan jantung. Penjagaan kesihatan hati amat penting bagi memastikan tubuh sentiasa mendapat nutrien dalam kuantiti yang cukup dan kualiti yang terbaik. Hal ini memandangkan hati adalah organ yang bertanggungjawab dalam pengagihan nutrien kepada seluruh organ tubuh. Oleh yang demikian, sebarang kecacatan yang berlaku ke atas fungsi hati tersebut pasti akan turut mengganggu tahap kesihatan individu yang terbabit.

Buku ini membincangkan pandangan Ibnu Sina tentang anatomi hati, fungsi hati, penyakit-penyakit yang berkaitan dengan hati, dan kaedah rawatan yang berkaitan, termasuk perbincangan tentang edema, asites, bengkak hati, kanser hati, hati tersumbat, angin di dalam hati, hati panas, hati sejuk, cecair hati, dan cirit-birit hati. Sesungguhnya, pandangan Ibnu Sina tentang perkara ini masih lagi relevan untuk diguna pakai dan masih lagi menjadi bahan kajian di seluruh dunia.

Wednesday, June 1, 2022

Sayangi Paru-Paru dan Organ Pernafasan Anda, Apa Kata Ibnu Sina ?


 Tidak semena-mena seluruh dunia dikejutkan dengan wabak Covid-19 dengan pelbagai varian yang menakutkan dan membimbangkan semenjak awal 2020. Semua pihak daripada para pemimpin atasan sehingga rakyat bawahan bercakap tentang virus yang menyerang sistem pernafasan manusia ini. Paling ditakuti apabila virus Covid-19 mula menyerang paru-paru sehingga menyebabkan pesakit sukar bernafas, paru-paru dipenuhi air dan lendir, dan tidak kurang juga yang berakhir dengan kematian.

Buku ini membincangkan tentang semua perkara yang berkaitan dengan sistem pernafasan, termasuk hal-hal yang berkaitan dengan nafas, suara, penyakit lelah, batuk, batuk berdarah, pleurisi, pneumonia, ulser dada dan paru-paru, dan batuk kering. Pengetahuan tentang perkara ini diharapkan mampu membantu para pembaca membuat persediaan bagi menghadapi serangan virus Covid-19 yang entah bila akan berakhir, atau mana-mana virus penyakit yang menyerang sistem pernafasan manusia.

Semoga pandangan Ibnu Sina yang diketengahkan dalam buku ini mampu memberi alternatif yang sebaiknya untuk kita sama-sama memastikan sistem pertahanan tubuh kita mampu melawan dan merawat sebarang penyakit yang berkaitan dengan sistem pernafasan.

Konsep, Kaedah, dan Teknik Terjemahan Arab-Melayu (edisi kemas kini)

 

Ilmu terjemahan sering dipandang remeh oleh sesetengah pihak lantaran kurangnya kesedaran dalam kalangan masyarakat tentang kepentingan ilmu tersebut dalam pembinaan ketamadunan dan peradaban sesuatu bangsa. Sehubungan itu, kemunculan buku ini diharap mampu menangkis persepsi negatif tersebut, apatah lagi buku ini ditulis oleh seorang sarjana bahasa Arab yang sudah mempunyai pengalaman lebih daripada 24 tahun dalam bidang terjemahan Arab-Melayu, khususnya melalui terjemahan beliau terhadap buku al-Qanun Fi al-Tibb, oleh Ibnu Sina.

Buku Konsep, Kaedah & Teknik Terjemahan Arab-Melayu (Edisi Kemas Kini) ini adalah jawapan kepada para pelajar dan sarjana bahasa Arab yang selama ini tercari-cari formula yang terbaik bagi menghasilkan teks terjemahan Arab-Melayu yang berkualiti tinggi, bermutu, mudah difahami, menarik, serta menepati tatabahasa bahasa Melayu. Di akhir buku ini, pembaca diajak menilai dan menganalisis teks terjemahan Arab-Melayu yang terpilih bagi tujuan pengukuhan terhadap konsep, kaedah, dan teknik terjemahan Arab-Melayu yang dipelajari dalam bab-bab yang sebelum itu.

Sehubungan dengan itu, buku ini amat sesuai dijadikan buku teks dan rujukan bagi subjek terjemahan Arab-Melayu, serta amat sesuai dibaca oleh semua golongan masyarakat, sama ada para pelajar sekolah menengah, institusi pengajian tinggi, dan universiti, mahu pun golongan profesional.


Thursday, February 24, 2022

Ensiklopedia Tanaman Hiasan, Tumbuhan Liar, dan Rumpai : Arab-Melayu-Inggeris-Nama Saintifik

Ensiklopedia ini mengandungi 2,362 entri perkataan tumbuh-tumbuhan dalam bahasa Arab dan padanannya dalam bahasa Melayu, Inggeris, dan nama saintifik. Ensiklopedia ini juga turut dihiasi dengan 260 buah gambar tumbuh-tumbuhan yang menjadikan ensiklopedia ini berada dalam kelasnya yang tersendiri.

Untuk tempahan, sila hubungi 013-9205011
 


Encyclopedia of Ornamental Plants, Wild Plants, and Weeds : Arabic-Malay-English-Scientific Names

 


This encyclopedia consists of 2,362 entries of plant words in Arabic and their equivalents in Malay, English, and scientific names. This encyclopedia is also inserted with 260 pictures of plants that make this encyclopedia in a class of its own.

For purchase, please contact 013-9205011

Friday, May 21, 2021

Ensiklopedia Sayur-Sayuran, Buah-Buahan, Rempah-Ratus & Bijirin : Arab-Melayu-Inggeris-Nama Saintifik

 

Ensiklopedia ini mengandungi hampir 1600 entri perkataan tumbuh-tumbuhan dalam bahasa Arab dan padanannya dalam bahasa Melayu, Inggeris, dan nama saintifik. Ensiklopedia ini juga turut diwarnai dengan 229 buah gambar dan ilustrasi tumbuh-tumbuhan yang menjadikan ensiklopedia ini berada dalam kelasnya yang tersendiri.

Encyclopedia of Vegetables, Fruits, Spices and Cereals : Arabic-Malay-English-Scientific Name

This encyclopedia contains nearly 1600 entries of vegetation words in Arabic and their equivalent in Malay, English, and scientific names. This encyclopedia is also colored with 229 pictures and illustrations of plants that make this encyclopedia in a class of its own.

 


Sunday, November 22, 2020

Sayangi Jantung Dan Payudara Anda, Apa Kata Ibnu Sina ?

 


Penyakit kardiovaskular atau lebih senang disebut sakit jantung adalah pembunuh senyap no. 1 yang paling ditakuti. Ramai pesakit jantung yang tidak menyedari bahawa mereka sebenarnya sudah lama mengalami masalah jantung. Oleh itu, pengesanan awal tentang tanda-tanda penyakit jantung amat penting diketahui oleh semua pihak.

Buku ini membincangkan tentang tanda, punca, jenis, dan rawatan yang berkaitan dengan penyakit jantung. Turut dibincangkan juga hal-hal yang berkaitan dengan khafaqan dan pitam kerana kedua-dua gejala ini amat berkait rapat dengan masalah jantung.

Selain itu, buku ini turut membincangkan hal-hal yang berkaitan dengan payudara, termasuk bengkak payudara, masalah susu pada payudara, dan peregangan payudara. Buku ini diakhiri dengan perbincangan tentang teori roh, dan ubat-ubatan jantung melalui sumber alamiah dan semula jadi berdasarkan pengetahuan dan pengalaman Ibnu Sina yang tidak pernah dibincangkan kecuali melalui buku yang anda tatapi ini.

Untuk tempahan, sila hubungi : 013 - 920 5011

Wednesday, June 10, 2020

PETUA KECANTIKAN MENURUT IBNU SINA


Perubatan kecantikan atau dalam istilah perubatan moden disebut perubatan estetik ialah satu cabang perubatan yang menyentuh hal-hal yang berkaitan dengan rambut, kulit, kuku, dan bentuk tubuh, termasuklah juga hal-hal yang berkaitan dengan inai, kelemumur, bau badan, dan kutu. Isu-isu yang berkaitan dengan kecantikan bukan sahaja sinonim dengan golongan wanita, tetapi juga perlu diketahui oleh golongan lelaki yang mementingkan gaya dan penampilan diri yang menarik.
                Buku ini memberi pandangan alternatif daripada Ibnu Sina terhadap persoalan-persoalan yang dibangkitkan berkaitan punca, rawatan, dan penjagaan tubuh dalam isu-isu kecantikan yang dimaksudkan. Sesungguhnya pandangan-pandangan Ibnu Sina dalam hal ini sebahagian besarnya masih lagi relevan walaupun sudah berusia 1000 tahun.

Untuk tempahan, sila hubungi : 013 - 920 5011

Friday, April 24, 2020

Kembara Ilmu Demi Sebuah Buku

Pepatah Arab Mesir ada mengatakan: “Sesiapa yang pernah minum air Sungai Nil, dia pasti akan kembai semula ke Mesir”.

Maksudnya ialah sesiapa yang pernah menetap di Mesir, setelah ia pulang ke negara asalnya, ia pasti akan merindui Mesir dan berazam untuk kembali semula ke bumi anbiya’ tersebut pada suatu ketika nanti. Itulah yang berlaku ke atas diri penulis. Setelah penulis menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Arab di Universiti Al-Azhar pada tahun 1993 dan seterusnya kembali ke tanahair, hati ini sentiasa terkenang-kenangkan saat-saat manis selama empat tahun berkelana menuntut ilmu di bumi yang dikenali sebagai Ardul Kinanah ini.

Selain faktor sejarahnya yang panjang melewati zaman-zaman sebelum tamadun Firaun sehinggalah ke zaman penjajahan Napoleon Bonaparte (1798 - 1801) dan Perang Mesir-Israel pada 1967, Mesir juga terkenal sebagai sumber khazanah ilmu, khususnya ilmu-ilmu Islam bagi para penuntut ilmu. Semenjak tertubuhnya Universiti Al-Azhar, iaitu universiti kedua tertua di dunia pada 989 M di bawah kerajaan Fatimiyyah (909 - 1171), bumi Mesir tidak putus-putus dikunjungi pelbagai golongan masyarakat dari timur dan barat yang dahagakan ilmu pengetahuan.

Demi memastikan nama Mesir terus kekal dalam peta dunia sebagai destinasi ilmu yang terkenal, maka bermula tahun 1969 kerajaan Mesir telah mengambil inisiatif mengadakan Pesta Buku Antarabangsa Kaherah (PBAK) pada setiap tahun, kecuali pada tahun 2011 akibat krisis politik. PBAK dianggap pesta buku yang terbesar di Timur Tengah mengalahkan mana-mana pesta buku di negara-negara Arab yang lain. Malah, pada tahun 2006, PBAK telah dinobatkan sebagai pesta buku yang kedua terbesar di dunia selepas Pesta Buku Frankfurt di Jerman.

Selama empat tahun penulis berkelana menuntut ilmu di Mesir (1989 - 1993), mengunjungi PBAK adalah agenda tetap dan wajib pada setiap tahun. Masuk sahaja ke dalam dewan jualan yang menempatkan pelbagai syarikat penerbitan sama ada penerbit dalam atau luar Mesir, anda pasti akan terbeliak biji mata melihat deretan buku dengan pelbagai tajuk yang menarik yang ditawarkan dengan harga yang murah dan berpatutan. Tanyalah mana-mana pelajar Malaysia di Mesir, PBAK adalah antara nostalgia yang pasti tidak akan dilupakan sampai bila-bila.

Oleh sebab itulah, walaupun penulis sudah berada di tanahair sendiri selama lebih 22 tahun, perasaan ingin mengunjungi PBAK masih tetap membara dan tidak pernah padam. Maka dengan izin Allah Ta’ala, pada 29 dan 30 Januari 2016 yang lalu, penulis dengan rasa penuh syukur telah berjaya sekali lagi menjejakkan kaki ke pesta buku yang paling berpengaruh dalam diri penulis tersebut. Kedatangan penulis adalah bagi meleng-kapkan kajian cuti sabatikal berkaitan kaedah terjemahan tumbuh-tumbuhan perubatan daripada bahasa Arab ke bahasa Melayu.



Semenjak penulis menterjemah kitab Al-Qanun Fi al-Tibb karangan Ibnu Sina bermula Januari 1998 sehingga kini, masalah utama yang dihadapi ialah menterjemah nama tumbuh-tumbuhan dalam bahasa Arab ke dalam bahasa Melayu. Hal ini kerana ensiklopedia mahupun kamus yang berkaitan dengan perkara tersebut sehingga kini masih lagi belum ada di pasaran. Malah, kamus tumbuh-tumbuhan dari bahasa Inggeris ke bahasa Melayu pun masih belum diterbitkan oleh mana-mana pihak.

Yang ada cuma beberapa kamus tumbuh-tumbuhan Arab-Inggeris dan buku-buku yang berkaitan dengan tumbuh-tumbuhan perubatan dalam bahasa Arab yang turut mempunyai entri kata dalam bahasa Inggeris dan nama saintifik. Termasuk juga yang dimiliki oleh penulis ialah kamus A Dictionary of Malayan Medicine yang diterbitkan oleh Oxford University Press pada tahun 1971. Namun, sayangnya kamus ini tidak mempunyai glosari tumbuh-tumbuhan dalam bahasa Inggeris sehingga menyukarkan penulis untuk membuat rujukan yang diperlukan.

Sementara itu, semua kamus umum Arab-Melayu yang ada di pasaran juga didapati kurang memberi tumpuan kepada terjemahan entri kata tumbuh-tumbuhan dalam bahasa Arab. Malah, bukan sedikit terjemahan yang dilakukan juga setelah diselidiki didapati salah atau kurang tepat. Rasanya dalam artikel ini tidak perlulah penulis menghuraikan secara terperinci tentang hal ini kerana perkara tersebut akan dibentangkan oleh penulis dalam satu seminar di Kuala Lumpur yang insya Allah akan diadakan pada September 2016 yang akan datang.

Dalam banyak ensiklopedia atau kamus tumbuhan Arab-Inggeris-Saintifik yang dimiliki oleh penulis, terdapat sebuah ensiklopedia yang boleh dikatakan hampir lengkap dan dianggap yang terbaik. Ensiklopedia yang dimaksudkan ialah Encyclopedia of Natural Sciences susunan Edourd Ghaleb. Penulis memperoleh ensiklopedia ini daripada Perpustakaan Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (APIUM), kampus Nilam Puri, Kelantan pada tahun 2000 ketika penulis menyambung pengajian di peringkat Doktor Falsafah (Ph. D) di universiti tersebut.

Namun sayangnya, ensiklopedia yang diperoleh tersebut hanya mempunyai Jilid 1 sahaja sedangkan ensiklopedia tersebut terdiri daripada dua jilid. Memandangkan ensiklopedia tersebut sangat diperlukan oleh penulis bagi memastikan terjemahan yang tepat terhadap nama tumbuh-tumbuhan perubatan yang terdapat dalam kitab Al-Qanun Fi al-Tibb, maka dengan menggunakan wang elaun cuti sabatikal, penulis telah bertolak ke Mesir pada 28 Januari 2016 yang lalu khusus bagi mengunjungi Pesta Buku Antara-bangsa Kaherah (PBAK) Kali Ke-47.


Al-hamdulillah, daripada urusan pembelian tiket sehinggalah penginapan di Kaherah, semuanya berjalan lancar. Dengan izin Allah, tiket kelas ekonomi yang dibeli oleh penulis bertukar menjadi kelas perniagaan secara percuma akibat pertindihan nombor kerusi yang diduduki. Ketika mengunjungi PBAK keesokan harinya (29 Januari 2016) dengan ditemani empat orang sahabat, penulis juga tidak mempunyai banyak masalah untuk mendapatkan kitab-kitab yang telah dirancang untuk dibeli di PBAK, termasuk ensiklopedia yang dimaksudkan.

Menariknya, apa yang dihajati oleh penulis telah digantikan oleh Allah dengan sesuatu yang lebih baik lagi. Ensiklopedia yang dicari-cari tersebut rupa-rupanya sudah pun mempunyai edisi kemas kini dan penambahbaikan yang diterbitkan pada 1988 berbanding edisi sebelumnya yang diterbitkan pada 1965. Edisi baharu yang diterbitkan dalam empat jilid ini mempunyai 31,464 entri kata yang meliputi nama tumbuh-tumbuhan, logam, dan haiwan yang sebahagian besarnya sukar ditemui dalam mana-mana kamus dan ensiklopedia yang lain.

Terlalu banyak sebenarnya pengajaran yang penulis peroleh melalui kembara ilmu di bumi anbiya’ Mesir pada kali ini. Bukan mahu merendah-rendahkan bahasa dan bangsa sendiri, namun kita harus menerima hakikat bahawa bahasa Melayu masih jauh ketinggalan berbanding bahasa-bahasa utama dunia yang lain, termasuk bahasa Arab. Masih banyak kerja yang harus dilakukan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) bagi menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di peringkat antarabangsa.

Antaranya ialah memperbanyakkan penerbitan buku-buku ilmiah dalam pelbagai bidang termasuk dalam bidang perubatan herba dan kamus-kamus yang berkaitan dengan bidang tersebut. Bagi penulis sendiri, insya Allah selepas ini penulis akan mencuba sedaya upaya menyusun kamus tumbuh-tumbuhan perubatan Arab-Melayu-Inggeris-Saintifik dengan mengumpulkan nama tumbuh-tumbuhan perubatan yang terdapat dalam kitab Al-Qanun Fi al-Tibb dan juga kitab-kitab yang lain.

Nasihat penulis kepada para pengembara ilmu, pertama-tama sekali ikhlaskanlah niat kita mengembara kerana mencari keredhaan Allah semata-mata. Jadikanlah diri kita keldai ilmu dan hamba kepada masyarakat dalam membawa risalah ketamadunan melalui kajian terhadap ciptaan Allah yang tidak pernah berkesudahan. Percayalah, perjalanan kita akan ditemani para malaikat yang diutus oleh Allah. Sebenarnya tiada penamat dalam kembara ilmu melainkan kematian.

Saturday, October 26, 2019

Gunung Kinabalu, Memori Yang Tak Kan Hilang

Hari ini aku curi sedikit masa untuk mencoret sedikit sebanyak pengalaman aku mendaki Gunung Kinabalu (GK) pada 11 dan 12 Oktober 2019 yang lalu. Kalau nak tunggu ‘time’ aku free baru nak tulis, sampai ke sudah tak menulis lah aku. Sibuk memanjang mengalahkan menteri.

Mendaki GK merupakan salah satu cita-cita (lebih tepat angan-angan) hidupku semenjak kecil. Hanya dua perkara yang menjadi halangan untukku mendaki GK sebelum ini, iaitu peluang dan wang. Peluang pertama datang pada tahun 2017 bila geng KIKFit’87 (geng alumni SPM 1987, KIK) mengadakan ekpedisi pertama ke GK. Namun, pada masa itu aku belum bersedia kerana masalah bajet yang selalu defisit.

Pada tahun 2018, sekali lagi KIKFit’87 mengadakan ekpedisi ke GK. Namun, sekali lagi aku terpaksa menolak kerana sudah merancang untuk ke GK pada tahun 2019 dengan Dr Khairuddin Lim, pensyarah FPE, UPSI. Lagipun, tahun 2018 tu aku sibuk menyiapkan penyelidikan berkaitan Ensiklopedia Tumbuh-Tumbuhan Perubatan Arab-Melayu-Inggeris-Nama Saintifik.

Pada April 2019, Dr. Khai memberitahu aku satu trip ke GK telah dirancang pada Sept 2019. Dipendekkan cerita trip tersebut terpaksa ditunda kepada 9 dan 10 Okt 2019 dan ditunda sekali lagi kepada 10 dan 11 Okt 2019. Trip ini diketuai oleh En. Fairuz, pegawai keselamatan UPSI yang sudah banyak kali terlibat dalam pendakian gunung, termasuk di Indonesia.

OK lah itu muqaddimah .... he he. Akhirnya pada pagi 10 Okt 2019 kami seramai 19 org bertolak dari KLIA ke Kota Kinabalu. Berhenti makan tengahari di KK dan solat Zuhur jamak taqdim di Masjid Likas. Kami sampai di Kundasang dah dekat Maghrib dalam keadaan hujan renyai-renyai. Sepanjang perjalanan ke Kundasang itu kami disajikan dengan hujan lebat. Jadi kami gagal lihat pemandangan GK dengan jelas kerana kabus.

Malam itu, kami menginap di Kiram Village, di kaki GK berlatarkan GK yang cantik dan jelas. Malam itu ada siaran langsung bolasepak Malaysia lwn. Vietnam. Malaysia kalah 1-0. Alhamdulillah malam itu aku dapat buang air besar dengan banyak sekali. Bimbang juga kalau tak dapat buang air besar sebab pagi esok dah nak mendaki. Sakit perut nak berak ketika mendaki dan marathon adalah perkara yang paling aku bimbang dan minta dijauhkan oleh Allah.

Pagi keesokannya, Jumaat, 11 Okt 2019 kami mendaki terlebih dahulu Sosodikon Hill yang berviewkan GK yg menarik. Setiap org kena bayar RM 3.00. Rendah aje, dlm 10 – 15 minit dah boleh sampai puncak bukit utk bergambar berlatarbelakangkan GK dan sebagai warming up sebelum mendaki GK.

Selepas itu kami pergi makan pagi. Sebelum mendaki kena ambil makanan yang banyak karbohidrat seperti telur dan daging. Tapi aku terlupa nak order telur. Dipendekkan cerita sekali lagi, selepsai urusan di pejabat Kinabalu Park, kami mula mendaki jam 11.15 pagi diiringi 4 orang malim gunung. Boleh dikatakan kami adalah kumpulan pendaki yang paling lewat memulakan pendakian pada hari itu.

Dalam 19 org kumpulan kami (7 lelaki dan 12 perempuan), seingat aku hanya 3 orang shj termasuk aku yg tidak mengupah porter utk membawa barang naik ke Laban Rata atau dikenali juga sbg Panalaban, iaitu base camp kepada GK. Satu kilo = RM13.00. Bukan kedekut, tapi aku yakin aku mampu bawa beg aku yg seberat 8 kilo itu. 4 kilo setengah sahaja ialah air, iaitu 3 kilo 100 plus dan 1 kilo setengah air mineral.

Aku tak bawa banyak pakaian. Tuala pun tak bawa. Utk ke Laban Rata, aku cuma bawa sehelai kain sarung, sehelai sapu tangan (tidak termasuk yg ada dlm seluar semasa mendaki), dan sehelai sapu tangan besar sbg tuala. Barangan yg lain ialah yg ada kaitan dgn pendakian spt. sarung tangan, baju sejuk, sehelai t-shirt, sehelai seluar dalam, baju hujan, lampu kepala, biskut, botol semburan air utk solat, spray utk elak kramp, coklat utk elak kram, dan pemanas tapak tangan dan tapak kaki.

Pakaian semasa mendaki ke Laban Rata ialah kasut, stokin, seluar 3 lapis termasuk 2 helai yg fit, satu panjang dan satu pendek paras lutut (jadi 4 lapis kalau seluar dalam dikira juga), dan baju 2 lapis termasuk sehelai yg fit. Mula-mula terasa sejuk juga, tapi bila tubuh dah panas dan berpeluh sejuk hilang dgn sendirinya. Suhu di Timpohon tempat mula mendaki lebih kurang 200 Celsius dan suhu di Laban Rata lebih kurang 120 C.

Aku ambil masa 5 jam 45 minit utk sampai ke Laban Rata. Ada 7 pondok perhentian semuanya. Dlm perjalanan dari pondok ke-3 ke pondok ke-4, aku mula rasa gejala AMS (Sindrom Gunung Akut), iaitu pening dan mual nak muntah. Aku terus berhenti makan biskut kerana kalau aku terus makan biskut aku mungkin akan muntah. Kalau muntah, tenaga dan air akan banyak hilang. Jadi aku cuba bertahan dan kawal mental seperti yg biasa aku lakukan semasa marathon.

Letih tak payah tanyalah lah. Bohong kalau aku cakap tak letih. Ya lah aku kan pikul beg 8 kilo. Baru tahu betapa seksanya mendaki GK. Menyesal pula rasanya ego tak mahu upah porter bawa barang. Tapi sebenarnya antara sebab aku tak upah porter sebab aku hanya bawa satu beg sahaja. Kalau nak upah porter, sepatutnya aku bawa dua beg, iaitu satu beg besar dan satu lagi beg kecil. Barangan utk pendakian ke puncak aku masukkan dlm beg besar utk dibawa oleh porter. Aku cuma bawa beg kecil utk ke Panalaban. Begitulah yg sepatutnya jika kita merancang utk upah porter bawa barang kita ke Panalaban. Tapi aku memang merancang utk tidak mahu upah porter. Sebab itulah aku sumbat semua barang dlm satu beg besar. Sebab itu aku tak bawa banyak pakaian.

Semasa pendakian, hujan mulai turun, iaitu tidak lama selepas aku mula rasa nak muntah sebelum itu. Terpaksalah berhenti sekejap utk keluarkan baju hujan. Aku silap sebab beli baju hujan yg kecik, tak mampu nak cover seluruh beg sandang yg besar tu. Jadi bahagian bawah beg aku basah kena hujan. Biskut yg ada di bahagian bawah juga basah dan pecah akibat tekanan udara dan tekanan drp barangan yg lain dlm beg. Ilmu pertama yg aku dapat semasa pendakian ini ialah pek biskut yg aku bawa dlm kocek seluar aku jadi kembang. Baru aku tahu, gejala tersebut berpunca daripada tekanan yg semakin tinggi apabila kita semakin jauh ke atas. Sebelum ni, geng2 hiking tak pernah pun bagi tahu aku perkara ini. Mungkin sebab mereka tak makan biskut kot semasa mendaki.

Aku mendaki dgn pace yg biasa, tidak laju dan rasanya tidaklah lambat sangat. Antara kami 19 org, aku kira tengah-tengah lah. Dr. Khai paling laju, 4 jam 45 minit, satu jam lebih awal drp aku tiba ke Panalaban. Kalau tak bawa beban 8 kilo mungkin aku lebih laju sikit lagi kot (ha ha). Cabaran semasa pendakian ke Panalaban bagi aku tidak lah teruk sangat. Cuma kena kuat stamina dan mental. Cuma sedikit sukar antara pondok ke-5 hingga ke-6 sebab hujan. Ada satu tempat terpaksa guna tali yg disediakan sebab takut tergelincir. Kalau tak hujan mungkin tak ada masalah rasanya.

Aku tiba di Laban Rata jam 5 petang sekali dgn Mas dan Sha. Aku terus naik ke bilik hostel utk solat Asar dan Zuhur jamak takkhir. Lepas tu baru turun ke kantin utk makan malam. Kantin tutup jam 6 petang, iaitu kebetulan dgn masuknya Maghrib waktu itu. Lepas makan, masuk semula ke hostel yg dlm bentuk dom. Satu bilik ada lebih kurang 15 buah katil. Malam tu cuma ada 9 org sahaja yg menginap di dalam dom tersebut, iaitu 6 org drp geng lelaki bersama aku dan 3 org pendaki dari negara yg lain (mungkin 2 drpnya dari Jepun dan seorang lagi dari Pakistan).




Masa nilah aku baru rasa sangat sejuk walaupun duduk berselimut tebal. Tangan aku pegang objek pemanas tapak tangan yg aku bawa tersebut. Mula-mula rasa tak panas pun. Rasa macam kena tipu dengan penjual yg aku beli di Dechatlon, Shah Alam. Ya lah sebab tubuh kita masa tu masih lagi sejuk. Namun, lama-lama setelah tubuh mula rasa panas sikit, barulah aku dapat rasakan objek tersebut memang sangat panas, khususnya jika diramas-ramas di tapak tangan. Bila masuk Isyak, aku solat Isyak dan Maghrib jamak takkhir. Solat dalam keadaan terketar-ketar kesejukan.

Malam tu aku cuma tidur dalam tempoh 2 hingga 2 jam setengah sahaja, sebab jam 1 pagi kami dah kena bangun utk persiapan mendaki ke puncak. Memang susah nak melelapkan mata kerana kesejukan. Selepas sarapan pagi jam 2 pagi, kami mula menuju puncak GK bermula jam 2.45 pagi. Ketika ini aku teringat satu pepatah Arab yg menyebut “sesiapa yg mencari kegemilangan, ia akan berjaga malam”. Ada baik juga mendaki waktu awal pagi ni sebab kita tak nampak sangat pandangan bawah. Cuma nampak cahaya lampu sahaja. Kalau nampak pandangan bawah ketika mendaki ke puncak, bahaya bagi mereka yg ada penyakit gayat macam aku ni (ha ha pecah rahsia).

Ketika mendaki ke puncak GK ini, ada tiga tempat yg aku terpaksa mendaki guna tali yg disediakan. Ada satu tempat tu kira bahaya juga. Pendaki di depan aku sampai 3 kali tergelincir, tapi masih boleh berpegang pada tali. Kerana bimbang dia tergelincir lagi dan mungkin membahayakan aku, aku ambil keputusan potong sahaja pendaki tersebut ikut jalan kiri sebelah dia. Aku tak pasti berapa ratus org yg mendaki pagi itu. Mungkin dalam 300 org agak aku. Pendakian pagi Sabtu memang ramai berbanding hari-hari yg lain.




Setelah sampai ke bahagian yg agak landai berhampiran puncak, barulah hati ini berasa lega, sebab lokasi sukar sudah berjaya dilepasi. Namun ketika ini badan terasa sangat letih. Lima hingga 10 langkah berjalan, berhenti ambil nafas. Bila masuk Subuh jam 4.45, aku masih jauh lagi untuk mencapai puncak yg sebenar walaupun nampak dekat dgn mata kasar. Jam 5.30 aku berhenti utk solat Subuh menggunakan air semburan yang dibawa. Solat atas batu yg hampir landai. Kiblat guna ijtihad sendiri dengan melihat arah matahari terbit.

Masa sembur air ke muka, ingatkan akan terasa sejuk (suhu di puncak dianggarkan 8 – 10 darjah C), tapi sebenarnya taklah sejuk sangat sebab tubuh kita ketika itu telahpun adopt atau menyesuaikan diri dengan suhu dan cuaca sejuk waktu itu. Selesai solat, aku seperti mendapat tenaga baharu utk meneruskan misi menawan puncak GK. Akhirnya aku sampai di puncak kira-kira jam 6.30 pagi. Terpaksa beratur utk naik ke puncak dan bergambar. Seseorang pendaki hanya dibenarkan berada di puncak sekitar 2 – 3 minit sahaja utk bergambar.




Nasihat aku kpd sesiapa yg mahu mendaki GK, tak payahlah ego macam aku. Bawa dua beg kecil sahaja. Satu utk kita bawa barangan semasa mendaki, satu lagi utk dibawa oleh porter yg kita upah. Berapalah sangat dgn 1 kilo = RM 13 itu, tak sampai pun RM 100. Jangan ambil risiko, khususnya jika anda bukan kaki marathon dan tidak pernah mendaki sebelum ini. Kalau anda kram dan terpaksa diusung bawa turun, upahnya bukan sedikit. RM 500 utk satu kilo. Masa aku turun dari GK, ada dua orang yg aku lihat didukung bawa turun oleh malim gunung yg potong aku. Kedua-duanya perempuan, seorang Cina (atau Jepun) seorang lagi Melayu. Mungkin ada lagi yg di belakang aku tak pasti.

Untuk nasihat yg selebihnya kena face to face dgn aku la. Tak larat nak tulis banyak-banyak kat sini. Korang pun bukannya nak baca sangat pun. Ha ha .... OK setakat itulah coretan aku sedikit sebanyak pengalaman mendaki Gunung Kinabalu. Semua yg berlaku atas kehendak Allah. Banyak-banyaklah berdoa dan berzikir semasa mendaki.




Terima kasih kepada semua sahabat yg terlibat dlm pendakian GK, termasuk teman-teman drp KIKFit’87 yg sentiasa meracuni aku utk mendaki dan terus mendaki.

#MENDAKI SATU IBADAH

Sekian, terima kasih .....

Dr. Mohd. Hilmi b. Abdullah
27 Okt 2019










Wednesday, September 4, 2019

Rawatan Umum Dalam Perubatan Ibnu Sina (edisi kemas kini)

Perubatan Ibnu Sina mungkin belum lagi terkenal di negara ini. Perubatan Ibnu Sina, di sebalik usianya yang telah pun mencapai angka seribu tahun, masih lagi diamalkan secara serius dan efektif di India, Pakistan, Bangladesh, Asia Tengah, dan Eropah. Malah, di India, Pakistan, dan Bangladesh, perubatan ini semakin berkembang dengan pesat, malah turut diajar di beberapa buah universiti sehingga ke peringkat Doktor Falsafah.

Oleh itu, buku ini amat penting dimiliki oleh individu yang mahu mengkaji rahsia kemujaraban Perubatan Ibnu Sina, khususnya berkaitan bentuk-bentuk rawatan umum yang diamalkan dalam perubatan ini semasa merawat pesakit. Kaedah rawatan secara pencaharan, pemuntahan, perdarahan, bekam, enema, penurisan, penggunaan lintah, kauteri, dan sebagainya perlu diketahui dan difahami terlebih dahulu sebelum kita meneroka bentuk-bentuk rawatan khusus yang melibatkan penyakit-penyakit yang khusus bagi setiap organ tubuh.

Untuk tempahan, sila hubungi : 013 - 920 5011

Friday, March 8, 2019

Mengenali Perubatan Ibnu Sina Jilid 2

Buku Mengenali Perubatan Ibnu Sina Jilid 2 ini ialah lanjutan daripada Jilid 1 sebelum ini yang mengupas tentang asas-asas dalam perubatan Ibnu Sina yang perlu difahami oleh sesiapa sahaja yang mahu menjadikan kaedah perubatan Ibnu Sina sebagai alternatif dalam penjagaan kesihatan, diagnosis penyakit, dan rawatan terhadap sesuatu penyakit.
Dalam buku ini Ibnu Sina membincangkan secara terperinci tentang jenis-jenis penyakit dan punca-punca terjadinya sesuatu penyakit, khususnya yang berkaitan dengan cuaca dan iklim, pemakanan, tempat tinggal, dan gaya hidup seseorang. Turut dibincangkan juga ialah gejala-gejala atau simptom-simptom yang berkai-tan dengan sesuatu penyakit serta cara-cara mengenal pasti sesuatu penyakit berdasarkan pengecaman terha-dap denyutan nadi dan keadaan-keadaan air kencing dan najis.
Semoga buku ini memberi manfaat kepada kita semua dan menambahkan lagi keprihatinan kita dalam memastikan kehidupan seharian agar sentiasa sihat serta bebas daripada risiko penyakit.

Untuk tempahan, sila hubungi : 013 - 920 5011

Tuesday, November 15, 2016

Mengenali Perubatan Ibnu Sina Jilid 1

Perubatan Ibnu Sina mungkin belum lagi terkenal di negara ini. Di sebalik usianya yang telah pun mencapai angka seribu tahun, perubatan Ibnu Sina masih lagi diamalkan secara serius dan efektif di India, Pakistan, Asia Tengah, dan Eropah. Malah, di India dan Pakistan, perubatan ini diiktiraf oleh kerajaan kedua-dua buah negara tersebut dan turut diajar di beberapa buah universiti sehingga ke peringkat Doktor Falsafah.

Buku ini satu-satunya buku dalam bahasa Melayu yang membincangkan secara terperinci asas-asas utama perubatan Ibnu Sina yang meliputi perbincangan tentang unsur, humor, mizaj, tenaga, dan organ. Pemahaman yang jelas tentang perkara ini ialah asas penting bagi seseorang yang ingin mendalami cara pemikiran Ibnu Sina dalam perubatan, termasuk tentang teori penyakit, kaedah rawatan, cara-cara mendiagnosis sesuatu penyakit, dan kaedah terbaik bagi pencegahan penyakit dan penjagaan kesihatan. 

Buku ini juga tidak ketinggalan menerangkan secara terperinci anatomi dan fungsi tulang, otot, saraf, dan salur darah arteri dan vena terhadap tubuh manusia. Pemahaman tentang perkara ini, insya Allah, akan menambahkan lagi keimanan kita terhadap Yang Maha Pencipta yang telah menjadikan manusia sebagai sebaik-baik makhluk di atas muka bumi ini.

Wednesday, April 27, 2016

Khasiat Tumbuh-Tumbuhan Perubatan Menurut Ibnu Sina (Jilid 4)

Harga buku (termasuk kos Poslaju) = RM 30.00 (semenanjung), RM 32.00 (Sarawak), dan RM 34.00 (Sabah).



Buku Khasiat Tumbuh-Tumbuhan Perubatan Menurut Ibnu Sina (Jilid 4) ini ialah kesinambungan daripada Jilid 1, Jilid 2, dan Jilid 3 sebelum ini yang telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada para pembaca dan peminat perubatan herba dan alternatif di negara ini. Keterujaan untuk mengetahui pandangan Ibnu Sina dalam hal yang berkaitan dengan tumbuh-tumbuhan perubatan telah menyebabkan ramai dalam kalangan mereka mendesak penulis buku ini menyegerakan terjemahan tumbuh-tumbuhan perubatan yang terdapat dalam kitab al-Qanun Fi al-Tibb oleh Ibnu Sina.

Buku ini mengupas pandangan dan penemuan Ibnu Sina berkaitan fungsi tumbuh-tumbuhan perubatan dalam rawatan dan pencegahan penyakit, faedah terhadap organ-organ tubuh dan juga fungsi tumbuh-tumbuhan tersebut dalam bidang kosmetik, pengawalan serangga dan haiwan perosak, dan anti toksik.

Penerbitan buku ini dipercayai memenuhi citarasa kontemporari masyarakat hari ini yang sedang tercari-cari alternatif terbaik dalam penjagaan kesihatan dan rawatan penyakit, termasuk aspek kecantikan dan penampilan diri, khususnya melalui sumber-sumber semulajadi yang selamat dan mujarab.