Oleh : Dr. Mohd. Hilmi b. Abdullah
pustakahilmi@yahoo.com
pustakahilmi.blogspot.com
Pada 11 Jun 2012 yang lalu, YAB Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Menteri
Besar Kelantan mengumumkan bahawa kerajaan negeri Kelantan akan menghantar qariah
dalam Pertandingan Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan pada tahun depan. Menurut
beliau, sebelum ini, iaitu sewaktu awal pentadbiran beliau, kerajaan negeri
mengadakan sekatan kepada muslimat untuk turut serta kerana ketika itu suasana
agak bebas dan seolah-olah tiada batasan yang membezakan antara lelaki dan
perempuan.
Namun,
setelah lebih 20 tahun memerintah, banyak usaha bagi memantapkan iman telah
dibuat oleh kerajaan negeri sejajar dengan prinsip Membangun Bersama Islam.
Kini, kerajaan negeri yakin muslimat sudah memahami batasan antara lelaki
dan perempuan dan bersedia mengambil langkah baru. Beliau berkata demikian
sewaktu Majlis Makan Tengahari bagi meraikan Johan Tilawah Al-Quran
Peringkat Kebangsaan Kali ke-55 tahun 1433H, Ustaz Mohamad Anuar Ghazali.
Menurut
YAB Dato’ Nik Abdul Aziz lagi, keputusan ini dibuat setelah mengambilkira
peristiwa yang berlaku pada zaman Nabi Muhammad s.a.w. Pada permulaannya, Nabi s.a.w.
melarang menziarahi kubur kerana berlaku pelbagai perbuatan syirik seperti
meratap, atau menjilat kubur. Tetapi setelah iman para sahabat semakin kukuh,
Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud : “Dahulu aku melarang kamu
menziarahi kubur, sekarang bolehlah kamu menziarahinya” (Hadis riwayat
Ahmad dan Al-Nasa’i).
Melihat
kepada kenyataan Menteri Besar Kelantan di atas, sekali imbas tidak ada apa
yang perlu dipertikaikan. Tambahan pula, desakan supaya kerajaan Kelantan
membenarkan qariah menyertai tilawah al-Quran sememanganya sudah lama
diperjuang-kan oleh beberapa pihak di Kelantan yang melihat tindakan melarang
wanita menyertai tilawah al-Quran lebih banyak mendatangkan fitnah dan persepsi
negatif terhadap kerajaan Kelantan, Parti Islam Semalaysia (Pas), dan ajaran
Islam itu sendiri, termasuk dari sudut pendekatan dakwah yang dinamik.
Namun,
bagi mereka yang sentiasa mengikuti ceramah-ceramah agama yang disampaikan oleh
Dato’ Nik Aziz, sama ada sebelum mahupun selepas beliau menjadi Menteri Besar
(MB) Kelantan, kenyataan MB Kelantan tersebut lebih banyak mengundang kejutan
dan kehairanan. Hal ini kerana melalui ceramah-ceramah agama tersebut, beliau
berulang kali menekankan pendapatnya yang lebih cenderung dengan pandangan
ulama yang mengatakan bahawa suara wanita yang sengaja dilunak-lunakkan adalah
aurat dan haram didengari oleh lelaki ajnabi.
Pandangan
peribadi Dato’ Nik Aziz ini kemudiannya disahkan oleh Timbalan Menteri Besar
Kelantan, Dato’ Ahmad Yaakob semasa beliau ditemuramah oleh Harakahdaily,
akhbar rasmi online Pas. Dalam temuramah tersebut, beliau menjelaskan bahawa
larangan terhadap qariah Kelantan menyertai tilawah al-Quran adalah kerana
kerajaan Kelantan berpegang kepada pendapat yang mengatakan bahawa suara wanita
yang dilunakkan dan dimerdukan adalah aurat.
Antara
hujah yang digunapakai oleh ulama-ulama yang berpegang kepada pendapat ini ialah
firman Allah dalam surah al-Ahzab, ayat yang ke-32 yang bermaksud : “Wahai isteri-isteri Nabi, kamu semua bukanlah seperti mana-mana
perempuan yang lain kalau kamu tetap bertaqwa. Oleh itu janganlah kamu
berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana
yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya
(menaruh tujuan buruk kepada kamu), dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata
yang baik (sesuai dan sopan)”.
Berpegang
kepada pendapat inilah, maka pada tahun 1998 kerajaan Pas Kelantan telah
menggubal Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 1998 yang antara
lainnya melarang artis wanita daripada menyanyi dan mengadakan persembahan
terbuka di khalayak ramai yang pastinya akan dihadiri oleh kaum lelaki. Selain
itu, larangan ini juga bertujuan untuk mengelak berlakunya fitnah di sebalik
suara artis wanita yang mungkin boleh membangkitkan syahwat para lelaki melalui
kemerduan suara dan liuk-lentok gerakan tubuh badan.
Rentetan
daripada semua senario di atas, kenyataan terbaru daripada Tuan Guru MB
Kelantan ini pastinya mengundang kekeliruan dan seribu satu persoalan. Mengeliru-kan
kerana di saat kerajaan Kelantan membenarkan wanita menyertai tilawah al-Quran,
pada masa yang sama, golongan hawa tersebut dilarang daripada mempersembahkan
bakat nyanyian mereka di hadapan khalayak ramai, walaupun dalam konteks
menyanyi-kan lagu-lagu nasyid, dakwah, nasihat, dan sebagainya.
Persoalan
yang timbul di benak fikiran ramai dalam hal ini ialah apakah bezanya antara
suara wanita yang dilunakkan bagi tujuan menyertai tilawah al-Quran dengan
suara artis wanita semasa menyanyi? Kalaulah fitnah yang dijadikan alasan, bagi
saya wajah cantik dan suara lunak Abby Abadi semasa berceramah di atas pentas
Pas juga boleh menimbulkan fitnah dan ghairah para hadirin.
Lebih
malang lagi jika kerajaan Kelantan menggunakan isu-isu teknikal bagi mewajarkan
Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 1998 diteruskan di sebalik
pewajaran qariah menyertai tilawah al-Quran. Hal ini kerana peraturan dan garis
panduan kepada artis wanita boleh dikeluarkan jika Pas dan kerajaan Kelantan
betul-betul bersungguh-sungguh mahu berdakwah dalam bidang seni dan hiburan.
Inilah
sebenarnya intipati di sebalik fatwa Dr. Yusuf al-Qaradhawiy yang mengharuskan
wanita menyanyi di hadapan lelaki ajnabi dengan syarat-syarat tertentu. Fatwa
ulama kontemporari tersohor itu boleh dilihat dalam laman web rasmi beliau di alamat
http://www.qaradawi.net/component/content/article/30/5415.html. Pendapat Dr. Yusuf al-Qaradhawiy ini turut disokong oleh Dr.
Hamzah Jaafar, Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang yang juga bekas Pensyarah di
Jabatan Dakwah, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.
Bagi
mereka yang masih sangsi, renung-renungkanlah pendapat beliau sebagai-mana yang
dipetik dari blog http://dupahang.wordpress.com. Menurut
Dr. Hamzah : “Pertimbangan dalam berdakwah ialah kita hendaklah meminimumkan
kejahatan dan kemungkaran di peringkat awal, untuk mendapatkan kebaikan yang
maksimum di peringkat akhirnya. Banyak dalam kalangan kita begitu ghairah untuk
mendapatkan kebaikan yang maksimum seawal dan secepat mungkin, yang akhirnya
langsung tak dapat apa-apa. Maknanya kita kena bijak mencongak sifir ...
Dalam
konteks konsert seperti yang saya cadangkan, kita cuba meminimumkan kemungkaran
dalam konsert. Caranya ialah kita bagi syarat kena tutup aurat dan jangan
menari-nari dengan tarian yang melampau, percampuran lelaki harus dibataskan,
waktu persembahan juga harus diambil kira, dan slot untuk tazkirah perlu
diadakan.
Saya yakin, akhirnya kita akan dapat melihat ‘kebaikan maksimum’ akan berlaku pada anak muda dan artis kita ...”.
Saya yakin, akhirnya kita akan dapat melihat ‘kebaikan maksimum’ akan berlaku pada anak muda dan artis kita ...”.
* Penulis ialah
Pensyarah di Jabatan Bahasa Moden, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti
Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tg. Malim, Perak.
Tamat
20 Julai 2012
No comments:
Post a Comment