Wednesday, April 20, 2011

Penyakit Jantung Dalam Al-Quran


Kematian seorang demi seorang wakil rakyat selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 yang lalu, termasuk yang terakhir kematian ADUN Kerdau, YB Datuk Zaharuddin Abu Kassim telah menimbulkan polemik tentang betapa pentingnya seseorang wakil rakyat itu menjaga kesihatan dan memastikan dirinya sentiasa bersedia memberi khidmat kepada rakyat dengan tahap kesihatan yang memuaskan. Mengikut rekod, punca utama kematian kebanyakan wakil rakyat tersebut ialah akibat sakit jantung.

Dari satu sudut, timbulnya polemik ini sedikit sebanyak menunjukkan kesedaran masyarakat tentang keperluan penjagaan kesihatan, termasuk memastikan diri bebas daripada penyakit-penyakit kronik seperti sakit jantung, darah tinggi, gout, kencing manis, sakit buah pinggang, strok, dan sebagainya. Dalam hal ini, sakit jantung telah dikenalpasti sebagai penyebab utama punca kematian di kalangan pesakit di negara ini selepas daripada kematian akibat kemalangan jalanraya.

Dalam konteks sakit jantung, antara punca utama penyakit tersebut seperti yang diketahui umum ialah pengambilan makanan yang banyak mengandungi lemak dan minyak, khususnya yang mempunyai banyak kolesterol, gaya hidup yang tidak sihat seperti kurang bersenam, dan tekanan perasaan, atau stres akibat tekanan kerja, masalah rumahtangga, masalah kewangan, dan sebagainya.

Dalam perubatan barat yang dianggap sumber utama perubatan moden hari ini, punca sakit jantung akibat kolesterol dikenali sebagai punca material, manakala punca sakit jantung akibat stres pula dikenali sebagai punca psikologi. Oleh itu, rawatan yang diberikan kepada pesakit jantung juga hanya terhad kepada dua jenis kaedah rawatan, iaitu rawatan secara fizikal melalui pengambilan ubat-ubatan, pembedahan, terapi fisiologi, dan sebagainya, dan rawatan secara terapi mental melalui bimbingan kaunseling, psikiatri, dan sebagainya.

Namun, dalam Islam, punca penyakit tidak hanya terhad kepada punca material dan psikologi sahaja, tetapi turut juga melibatkan spiritual pesakit. Hal ini kerana Islam menganggap hanya Allah sahaja yang mampu menyebabkan seseorang itu mengalami penyakit, dan hanya Dia juga sahaja yang boleh menyembuhkan penyakit tersebut. Dalam Islam, diagnosis doktor dan pengambilan ubat hanyalah ikhtiar semata-mata.

Kerana itulah apabila Siti Fatimah mengadu kepada Rasulullah s.a.w. tentang kepenatannya menjalankan tugas sebagai suri rumah sepenuh masa, lalu memohon daripada ayahdanya itu supaya menyediakan kepadanya seorang pembantu rumah, Rasulullah s.a.w. hanya menyuruhnya supaya bertasbih sebanyak 33 kali, bertahmid 33 kali, bertakbir 33 kali, dan disudahi dengan lafaz “la ilaha illallah” sekali.

Hal ini kerana berzikir dan mengingati Allah adalah ubat rohani yang boleh menjadikan seseorang itu tenang dan tabah. Lalu dengan ketenangan tersebut, mental seseorang itu akan menjadi kuat sehingga segala kepenatan akan hilang dan segala kebimbangan mampu dihadapi secara positif. Malah, berzikir dan mengingati Allah adalah lebih baik daripada menelan panadol atau aspirin bagi meredakan kebimbangan, keresahan, dan kecelaruan minda.

Perkara yang sama juga dititikberatkan oleh Islam dalam perawatan dan penjagaan jantung. Hal ini dijelaskan oleh Allah dalam surah al-Baqarah, ayat yang ke-10 yang bermaksud : “Dalam ‘qulub’ mereka (yakni golongan munafiq itu) terdapat penyakit, maka Allah tambahkan lagi penyakit itu kepada mereka; dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya, dengan sebab mereka berdusta (dan mendustakan kebenaran)”.

(Nota : Baca perenggan yg seterusnya dlm. Al-Islam, Mei 2011, hlm. 40).

No comments:

Post a Comment