Tok Guru Haji Saleh
Haji Saleh memecat serban di kepalanya. Serban tadi diletakkannya di
atas meja tulis yang terletak di sebelah meja komputer. Kemudian dia
menanggalkan jubah dan menyangkutnya di tempat penyangkut baju di tepi dinding.
Haji Saleh duduk sebentar di atas kerusi meja tulisnya menyemak diari untuk
memastikan dia tidak terlupa program-program yang perlu dihadirinya esok.
Haji Saleh meninggalkan
bilik bacaannya yang sederhana luas itu menuju ke bilik tidur. Sebelum
melangkah masuk ke bilik tidurnya, Haji Saleh sempat meninjau keadaan bilik
anak-anak dan menantunya. Nampaknya semua anak dan menantunya sudah pun tidur
nyenyak dibuai mimpi masing-masing. Jam di dinding berdenting satu kali
menunjukkan waktu sudah larut malam.
Perlahan-lahan Haji
Saleh memasuki bilik tidurnya, bimbang kalau-kalau mengejutkan isteri dan anak
bongsunya yang berusia tiga tahun itu. Selepas memakai pakaian tidur, tiba-tiba
sahaja Haji Saleh merasa suatu kesakitan yang amat kuat di dada. Serta merta
Haji Saleh mencapai minyak urut yang terletak di atas cermin tilik lalu
mengurut-ngurut dadanya. Haji Saleh tidak tergamak untuk mengejutkan isterinya
yang sedang nyenyak tidur itu.
“Biarlah dia berehat
dengan sepuas-puasnya malam ini. Esok hari pasti ia sibuk melayan karenah
budak-budak tu lagi”. Bisik hati Haji Saleh mengingatkan dirinya akan
pengorbanan yang telah dicurahkan oleh isteri tercintanya itu. Lagipun, Haji
Saleh sudah biasa dengan kesakitan yang dialaminya itu, khususnya sejak tiga
bulan kebelakangan ini.
Haji Saleh duduk
dibirai katil sambil merenung wajah isterinya dengan penuh kasih sayang.
Kemudian perlahan-lahan Haji Saleh merebahkan badannya di sebelah isterinya.
Sesekali Haji Saleh merasa bersalah terhadap isteri dan anak-anaknya kerana
tanggungjawab sebagai suami dan ayah seringkali terpaksa diabaikannya demi
perjuangan menyebarkan dakwah yang tidak mengenal batas waktu dan usia itu.
Perjuangan yang
memerlukan pengorbanan harta, masa dan tenaga itu bermula semenjak Haji Saleh
pulang dari Mesir setelah tamat pengajiannya di Universiti Al-Azhar dalam
jurusan Syariah. Sebaik sahaja pulang ke tanah air, Haji Saleh terus
dikahwinkan oleh ayahnya Tok Guru Haji Abu Bakar dengan Ustazah Nuriah, lepasan
Akademi Islam Universiti Malaya.
Sebagai seorang yang
telah banyak pengalaman, Tok Guru Haji Abu Bakar sememangnya maklum bahawa
anaknya yang baru pulang dari luar negara itu memerlukan isteri yang taat setia
serta sanggup bergolok bergadai bersama suaminya dalam usaha menyambung risalah
Rasullulah s.a.w. Haji Saleh sudah pasti
tidak mampu menghadapi dugaan dan cabaran yang bakal menimpanya tanpa sokongan
yang tidak berbelah bahagi daripada isteri.
Cubaan pertama yang
harus ditempuhi oleh Haji Saleh ialah menghapuskan amalan-amalan dan
kepercayaan karut dan khurafat yang masih berakar umbi dalam masyarakatnya.
Amalan-amalan seperti bersanding di atas pelamin, mempercayai tangkal dan
azimat, berjaga kubur, bermain ‘puteri’ untuk merawat penyakit, percaya kepada
hantu dan sebagainya telah ditangani oleh Haji Saleh dengan penuh hikmah dan
berhati-hati.
Malah,
perlakuan-perlakuan seperti merokok, pergaulan bebas antara lelaki dan
perempuan, bersukan tanpa menutup aurat, berlaga ayam sabung, bermain menora
dan sebagainya diatasinya dengan cara mengemukakan hujah berdasarkan ayat-ayat
al-Quran, hadith-hadith Nabi s.a.w. dan pendapat ulama-ulama yang muktabar.
Namun, khurafat
terbesar yang semakin menular dalam masyarakatnya yang sukar untuk ditangani
oleh Haji Saleh ialah kepercayaan bahawa politik suku, agama suku. Rata-rata masyarakatnya berpendapat
bahawa sudah cukup bagi seseorang itu untuk masuk syurga jika ia sudah
melakukan kelima-lima rukun Islam dengan sempurna.
Rakyat tidak perlu
ambil tahu hal-hal yang berkaitan dengan pengurusan dan pentadbiran sesebuah
negeri atau negara kerana perkara tersebut adalah kerja orang-orang politik.
Kalau dicampurkan urusan agama dalam politik, maka nescaya pentadbiran sesebuah
negara itu akan kucar-kacir, negeri akan menjadi mundur, rakyat akan menjadi
miskin dan berbagai-bagai lagi khurafat yang dicipta oleh golongan tertentu
untuk mengalih perhatian rakyat daripada amalan korupsi, kronisme dan nepotisme
(KKN) yang mereka amalkan.
Masyarakat bukannya
tidak bersedia untuk mendengar hujah daripada Haji Saleh. Tetapi setiap kali
Haji Saleh cuba bersuara, ulama-ulama upahan pihak pemerintah daripada Parti
Bangsa Merdeka (PBM) akan memutarbelitkan fakta yang sebenarnya. Kata mereka
pihak kerajaan sudah bina masjid, sekolah, hospital, jalan raya dan berbagai
lagi kemudahan termasuklah air, api, telefon dan sebagainya.
Rakyat sudah dapat
hidup senang. Dapat cari rezeki tanpa apa-apa gangguan. Negeri aman damai.
Tidak ada huru hara atau pemberontakan. Jenayah terkawal. Masalah sosial sedang
dicari jalan penyelesaiannya dan pelbagai lagi hujah sengaja direka cipta untuk
melunakkan hati rakyat terbanyak supaya terus memberi sokongan kepada pihak
kerajaan.
Hukum hudud tidak
relevan untuk dilaksanakan di zaman moden ini. Hukum potong tangan dan rejam
hanya sesuai di zaman Rasulullah s.a.w. dahulu kerana pada masa itu belum ada
lagi kaedah penjara dan psikologi untuk memulihkan orang-orang jahat atau
mereka yang bermasalah. Lagi pun kalau hukuman tersebut dijalankan juga, maka
ekonomi umat Islam akan mundur kerana ramai di kalangan mereka yang akan kudung
tangan.
Ada juga di kalangan
mereka yang mengatakan bahawa hukuman hudud hanya boleh dilaksanakan sekiranya
peratusan umat Islam di sesebuah negara itu ialah seratus-peratus atau pun
hampir dengannya. Oleh kerana negara Mambang Raya ini hanya mempunyai lima
puluh lima peratus umat Islam sahaja, maka dakwah mengajak orang-orang bukan
Islam supaya memeluk agama Islam hendaklah diutamakan terlebih dahulu.
Malah, ada yang
bertindak lebih berani daripada itu apabila sengaja memutarbelitkan ayat-ayat
al-Quran dan hadith-hadith Nabi s.a.w. supaya bersesuaian dengan kehendak
pemerintah, khususnya Perdana Menteri Datuk Paduka Mahamega. Menurut mereka
lagi, kerajaan bukannya tidak mahu melaksanakan hukum hudud, tetapi keadaan
ekonomi yang tidak mengizinkan pelaksanaan hukum tersebut. Oleh itu, masalah
ekonomi perlu diselesaikan terlebih dahulu.
Aah ! Nampaknya bukan
senang untuk Haji Saleh menangani semua ini. Pernah sekali sekala Haji Saleh
hampir merajuk atau ‘fed up’ untuk meneruskan dakwahnya kepada masyarakat. Apa
tidaknya? Pernah pada suatu malam ketika Haji Saleh sedang menunggang motosikal
menuju ke sebuah surau untuk menyampaikan kuliah Maghrib, motosikal Haji Saleh
dirempuh dari arah belakang. Haji Saleh tercampak ke dalam parit. Tangannya
patah dan terpaksa dirawat selama sebulan untuk pulih seperti sediakala.
Haji Saleh kenal sangat
dengan kereta Mercedes Benz 230 E yang merempuhnya itu. Kereta milik orang kaya
yang dikenali sebagai Tan Sri Alfulus itu, telah banyak kali sebelum ini
mengganggu perjalanannya ke tempat-tempat kuliah agama atau ceramah keagamaan.
Jesteru itu, Haji Saleh telah membuat laporan polis dengan harapan pihak polis
akan membuat siasatan dengan adil dan saksama.
Namun, jawapan daripada
pihak polis amat mendukacitakan sekali. Menurut pihak polis, Tan Sri Alfulus
mempunyai alibi yang cukup kuat kerana beliau telah dapat membuktikan bahawa
dia, pemandu peribadinya dan keretanya tidak berada di tempat kejadian pada
malam itu. Malah pihak polis secara menyindir menuduh Haji Saleh sengaja
membuat laporan kerana cemburu kepada kekayaan dan kedudukan Tan Sri Alfulus.
Semasa terlantar di
hospital, Haji Saleh sempat bertanyakan pendapat isterinya tentang keadaan yang
menimpanya sekarang ini. Haji Saleh bukannya mahu berputus asa, tetapi dia
tidak mahu isteri dan anak-anaknya mendapat susah kerana dirinya.
“Selepas abang keluar
hospital nanti, abang fikir nak berehat buat seketika. Abang kesian tengok Nur
terpaksa jaga anak keseorangan. Ada suami pun selalu tak ada kat rumah.
Kadang-kadang abang rasa bersalah pada Nur dan anak-anak kita. Walaupun mereka
ada ayah, tapi mereka jarang sekali dapat bermanja dengan abang”.
Haji Saleh menggenggam
erat tangan isterinya yang masih lembut dan licin itu. Matanya berubah
kemerah-merahan. Kemudian Haji Saleh menyambung semula kata-katanya dalam nada
yang tersekat-sekat. Tidak lagi lancar sepertimana ketika beliau berpidato atau
menyampaikan kuliah.
“Hari ini mereka
aniayai abang. Mungkin esok atau lusa, Nur atau anak-anak kita pula yang mereka
aniayai. Abang tak nak perkara ini berlaku, Nur. Abang tak sanggup tengok Nur
dan anak-anak kita jadi macam abang”.
Mendengar kata-kata
suaminya itu, Ustazah Nuriah tidak dapat lagi menahan sebak di dada yang
ditahannya sebelum itu. Ustazah Nuriah merebahkan mukanya ke dada Haji Saleh.
Tanpa disedarinya, Haji Saleh turut menitiskan air mata jantan yang sememangnya
susah untuk dikeluarkan.
Peristiwa yang penuh
dramatik yang berlaku di Wad Dua hospital itu telah meninggalkan kenangan yang
tidak mungkin akan dilupakan oleh Haji Saleh sepanjang hidupnya. Peristiwa
tersebut bukannya tangisan yang menyedihkan itu, tetapi ucapan semangat
daripada permaisuri yang dikasihinya itu selepas Haji Saleh berjaya
menenangkannya.
“Abang jangan kata
begitu bang. Abang masih ingat lagi tak semasa kita mula-mula kahwin dulu.
Abang kata abang tidak mahu Nur mengganggu tugas abang sebagai pendakwah. Nur
pegang kepada janji tu, bang”. Ustazah Nuriah berhenti buat seketika untuk
mengesat air mata yang mulai kering sebelum menyambung semula kata-katanya
tadi.
“Selama hampir enam
tahun perkahwinan kita ini, Nur tidak pernah mengadu kepada abang walaupun
abang selalu balik lewat dan selalu mengadu keletihan. Nur tidak pernah merasa
tertekan kerana terpaksa menjaga anak tanpa bantuan daripada abang yang sering
kesuntukan masa. Malah Nur merasa bangga memiliki suami seperti abang”.
Melihat pipi suaminya
yang dibasahi air mata, Ustazah Nuriah mengambil tisu dari beg tangannya dan
mengesat pipi Haji Saleh sambil menciumnya. Kemudian Ustazah Nuriah menyambung
semula kata-katanya yang penuh hikmat lagi keramat itu.
“Nur mahu abang
teruskan perjuangan dakwah ini. Jangan kerana sedikit ujian daripada Allah
Ta‘ala ini kita dikatakan kalah sebelum berjuang. Biar putih tulang, jangan
putih mata, bang. Allahyarham ayah abang sendiri pun pernah berkata : “Kalau
takut kepada cubaan, jangan sebut pasal perjuangan”.
“Abang jangan
sia-siakan harapan ayah kepada abang. Nur percaya roh ayah pasti gembira
melihat anaknya kental menghadapi dugaan dalam perjuangan menegakkan kebenaran
dan menghapuskan kebatilan ini. Abang jangan bimbang, Nur pasti akan sentiasa
berada di belakang abang”.
Selepas keluar dari
hospital, Haji Saleh telah memutuskan untuk memulakan fasa baru dalam
perjuangan dakwahnya. Fasa baru tersebut bermula apabila Haji Saleh mendaftar
sebagai ahli dalam Parti Sejahtera Bangsa (PSB) setelah mendapat desakan yang
begitu kuat daripada sahabat-sahabatnya. Sebelum ini pun Haji Saleh bukannya
tidak mahu menyertai PSB, tetapi dia tidak mahu orang ramai menuduhnya
berdakwah kerana ingin menjadi wakil rakyat atau pun mahu mendapat kedudukan
yang tinggi dalam parti.
Bagaimanapun, selepas
peristiwa beliau di rempuh tersebut, Haji Saleh mula berfikir bahawa perjuangan
menegakkan Islam di negara Mambang Raya ini tidak akan ke mana selagi Islam
hanya berfungsi sebagai agama bagi upacara-upacara ritual sahaja. Islam menjadi
agama yang diperintah dan bukannya yang memerintah. Justeru itu, perjuangan PSB
yang mahu melihat Islam didaulatkan di negara ini wajib disokong oleh semua
pihak, apatah lagi golongan ulama sepertinya.
Bagi Haji Saleh dan
PSB, Islam adalah agama yang syumul yang meliputi seluruh kehidupan manusia.
Tidak sempurna Islam seseorang itu jika hanya menunaikan rukun Islam yang lima
itu sahaja, tetapi membiarkan gejala KKN bermaharajalela dalam masyarakat.
Mayarakat mesti memastikan pemimpin yang mahu dipilih ialah mereka yang akan
menjalankan kewajipan sebagi khalifah Allah di muka bumi ini. Haji Saleh selalu
mengingatkan orang ramai bahawa tangan yang memilih akan dipersoalkan oleh
Allah di hari akhirat kelak.
Tiga tahun selepas Haji
Saleh menyertai PSB, pilihanraya umum telah diadakan dan Haji Saleh telah
dipilih sebagai calon PSB bagi kerusi DUN di kawasannya. Pemilihan Haji Saleh
dianggap paling tepat memandangkan beliau adalah anak Allahyarham Tok Guru Haji
Abu Bakar, seorang tokoh agama yang dihormati oleh masyarakat. Tambahan pula
Haji Saleh adalah pendakwah yang disenangi oleh semua pihak, sama ada kawan
mahu pun lawan kerana sifatnya yang tidak suka mencari musuh dan bersedia
mendengar pandangan orang lain.
Bukannya mudah untuk
Haji Saleh memutuskan untuk bersedia menjadi calon walaupun terdapat sesetengah
pihak yang bersungguh-sungguh melobi untuk tujuan tersebut. Persetujuan
daripada isteri diambil terlebih dahulu kerana Haji Saleh menyedari kejayaan
seseorang wakil rakyat banyak bergantung kepada kesanggupan isteri yang
bersedia menerima pelbagai cubaan.
Akhirnya Haji Saleh
terpaksa meletakkan jawatannya sebagai guru agama, suatu jawatan yang sudah
boleh dianggap selesa untuk hidup, untuk terjun ke dalam suatu dunia yang tidak
menjanjikan sebarang kemewahan. Malah berdepan dengan pelbagai risiko yang
kadang-kadang di luar dugaan sama sekali.
Semasa berkempen, Haji
Saleh telah menerima pelbagai ejekan daripada penyokong-penyokong PBM, iaitu
parti yang menjadi saingan utama bagi PSB. Antara ejekan mereka yang masih
terngiang-ngiang di telinga Haji Saleh ialah bahawa golongan yang berserban dan
berkopiah sepertinya tidak layak menjadi pemimpin. Golongan sepertinya dituduh
tidak pandai memimpin, tidak tahu mentadbir negeri, tidak pandai berurusan
dengan orang luar dan berbagai-bagai lagi tuduhan liar dan palsu yang
dilemparkan oleh mereka.
Namun begitu, Haji
Saleh tabah menghadapi segala ejekan dan cemuhan daripada para penyokong lawan
itu. Haji Saleh berhujah bahawa golongan agamalah yang paling sesuai memimpin
sesebuah negeri atau negara kerana mereka akan memikirkan terlebih dahulu soal dosa
dan pahala sebelum melakukan sesuatu perkara. Mereka yang berpegang teguh
kepada agama sudah pasti akan mengambil berat kepentingan rakyat berbanding
kepentingan diri sendiri. Justeru itu, hanya golongan ulama sahajalah yang
mampu membendung gejala KKN yang semakin menular dalam masyarakat.
Setelah berkempen
dengan bersungguh-sungguh tidak kira hujan atau pun panas, Haji Saleh dan
beberapa lagi calon PSB telah menang di kawasan masing-masing. Bagaimanapun,
pihak lawan yang tidak dapat menerima kekalahan mereka beranggapan kemenangan
calon-calon PSB tersebut banyak dibantu perpecahan yang berlaku dalam PBM
akibat rasa tidak puas hati pemimpin-pemimpin bawahan parti itu terhadap
pemimpin-pemimpin atasan yang mengamalkan budaya KKN.
Walau apa pun alasan yang
diberikan terhadap kemenangannya itu, Haji Saleh tetap berpuas hati kerana
usaha beliau selama ini hampir sepuluh tahun berdakwah telah dapat menyedarkan
masyarakat tentang bahayanya budaya KKN terhadap negara. Ini kerana budaya KKN
boleh menyebabkan kemelesetan ekonomi, keadaan negara yang kucar kacir,
keselamatan negara terancam dan bermacam-macam lagi bahaya dan gejala sosial
yang boleh berlaku.
Kali ini Haji Saleh
telah bergelar Yang Berhormat (YB). Tetapi gelaran itu langsung tidak
melalaikan beliau daripada tanggungjawab kepada rakyat. Kini dia harus
membuktikan kepada masyarakat bahawa golongan ulama juga mampu menjadi pemimpin
yang baik, malah jauh lebih baik daripada golongan yang bertali leher,
bersongkok hitam dan berpakaian busjaket.
Untuk membuktikan
keupayaannya sebagai wakil rakyat di samping memberi perkhidmatan yang terbaik
buat mereka, Haji Saleh menubuhkan pusat khidmat masyarakat dan mengadakan
laman webnya sendiri untuk memudahkannya berhubung dengan rakyat serta
memudahkan rakyat menyatakan masalah yang mereka hadapi. Malah, Haji Saleh
telah mengadakan fail peribadi bagi setiap keluarga yang berada di kawasanya,
suatu tindakan positif dan proaktif yang belum pernah dibuat oleh mana-mana
wakil rakyat sebelum ini.
Kini telah masuk
penggal yang ketiga Haji Saleh menjadi wakil rakyat di kawasannya. Selama lebih
dua puluh tahun berdakwah, baru kini Haji Saleh sudah mampu mengukir senyum di
raut wajahnya. Senyum kerana Haji Saleh sudah nampak riak-riak kemenangan Islam
di alaf baru ini. Kini bilangan wakil rakyat dari PSB di parlimen sudah semakin
bertambah berbanding sepuluh tahun yang lalu.
Kini rakyat sudah mula
memberi kepercayaan kepada golongan ulama untuk memerintah negara. Rakyat sudah
mula bangkit menentang budaya KKN yang diamalkan oleh pihak pemerintah.
Demonstrasi menentang kezaliman pihak kerajaan sudah terdapat di mana-mana
sekarang ini. Pihak kerajaan yang diterajui PBM sudah mula berlembut dengan PSB
apabila Presidennya merangkap Perdana Menteri sudah bersedia untuk bermuzakarah
dengan pemimpin-pemimpin PSB.
Kini Haji Saleh sudah
dikenali sebagai Tok Guru Haji Saleh di kalangan rakyat jelata, gelaran yang
tidak pernah diminta dan diimpi-impikan olehnya. Gelaran Tok Guru merupakan
suatu penghormatan daripada masyarakat terhadap seseorang tokoh yang mempunyai
tahap keilmuan yang tinggi di samping berpegang teguh kepada ajaran agama serta
banyak berjasa kepada masyarakat.
Walau bagaimanapun,
sebab utama Haji Saleh mampu senyum ialah kerana kejayaan isterinya mendidik anak-anaknya
mengikut jejak langkahnya sebagai pendakwah dan seterusnya penyambung
perjuangan yang suci ini bagi generasi yang akan datang. Buktinya, anaknya yang
sulung yang kini menuntut di Universiti al-Azhar di peringkat Master, baru-baru
ini telah terpilih sebagai Presiden Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir.
Haji Saleh
mengurut-ngurut kembali dadanya. Kesakitan di dadanya tadi semakin bertambah
kuat. Dengan segala kepayahan Haji Saleh menuju ke arah laci cermin tilik untuk
mengambil ubat yang perlu dimakannya setiap hari. Menurut doktor, Haji Saleh
mengalami penyakit darah tinggi dan lemah jantung kerana terlampau kuat bekerja
dan kurang istirehat.
Memang, sejak dua puluh
tahun kebelakangan ini Haji Saleh sentiasa sibuk dengan kegiatan dakwahnya sehingga
beliau lupa untuk memenuhi hak tubuhnya ke atas dirinya. Ini kerana Haji Saleh
sentiasa mengingati dirinya bahawa syaitan dan iblis tidak pernah tidur dalam
usaha mereka untuk menyesatkan manusia.
Setelah meminum ubat
dengan segelas air yang sudah disediakan oleh isterinya di atas cermin tilik
itu, Haji Saleh berehat seketika di atas kerusi. Pada kebiasaannya, kesakitan
dadanya akan reda selepas beberapa minit mengambil ubat tersebut. Namun pada
kali ini kesakitan tersebut semakin bertambah kuat sehingga tidak tertahan lagi
oleh Haji Saleh. Kini Haji Saleh sudah tahu apa yang akan berlaku dan apa yang
patut beliau lakukan.
Haji Saleh merebahkan
kembali tubuhnya di sebelah isterinya. Setelah mengucap dua kalimah syahadah,
perlahan-lahan Haji Saleh menutup matanya. Sambil meletakkan kedua-dua tangan
di dadanya, Haji Saleh sempat mengukir senyum di wajahnya. Kali ini kesakitan
di dadanya tadi kembali beransur-ansur hilang. Hilang buat selama-lamanya.
Hilang bersama roh Haji Saleh yang kembali menemui Yang Maha Pencipta.
TAMAT
(24 Januari 2001)