Monday, December 2, 2013

Tuesday, August 27, 2013

Tuesday, July 30, 2013

Wednesday, June 26, 2013

Friday, May 24, 2013

Argo, Amerika Tidak Pernah Insaf

Al Islam, Jun 2013, hlm. 8 - 9 (versi black out).


Monday, May 6, 2013

Thursday, March 21, 2013

Thursday, February 21, 2013

Sunday, February 17, 2013

Melayu Malas Berfikir



Oleh :  Dr. Mohd. Hilmi b. Abdullah
            pustakahilmi@yahoo.com
            pustakahilmi.blogspot.com

            Sebut sahaja pasal Melayu, pasti kita akan terbayangkan gejala sosial dan jenayah, termasuk rasuah dan pecah amanah yang melibatkan bangsa yang menurut Sejarah Melayu berasal daripada keturunan Iskandar Zulkarnain itu. Daripada gejala penagihan dadah, pembuangan bayi, vandalisme, dan mat rempit, sehinggalah kepada sumbang mahram, jenayah kolar putih, skim cepat kaya, ali baba, dan ajaran sesat, kesemuanya membabitkan orang-orang Melayu sebagi pelaku utama dalam peratusan yang agak besar dan membimbangkan.

            Kesemua permasalahan ini dikatakan sedikit sebanyak berpunca daripada sikap orang-orang Melayu yang suka berhibur, suka mengambil jalan mudah, enggan bersusah payah, pemalas, takut menempuh risiko, mudah terpengaruh dengan budaya asing, dan mudah lupa diri dan daratan. Dalam erti kata lain, orang-orang Melayu kurang kreativiti dan inovasi, tidak berdaya saing, tidak berani membuat perubahan, dan gagal mengenal pasti potensi dan kekuatan diri, atau dalam bahasa yang lebih mudah difahami, orang-orang Melayu sebenarnya malas untuk berfikir.

            Lihatlah rancangan-rancangan realiti yang berbentuk hiburan di televisyen seperti Akademi Fantasia, Mari Menari, Malaysian Idol, Gang Star, Raja Lawak, Idola Kecil, dan sebagainya, para peserta dan penontonnya, kesemuanya dipenuhi oleh orang-orang Melayu. Lihat pula perlawanan-perlawanan bola sepak di stadium dan konsert-konsert hiburan sama ada yang dijayakan oleh artis tempatan, mahupun artis luar negara, hampir keseluruhan para pengunjungnya terdiri daripada orang-orang Melayu.

            Namun, sebaliknya yang berlaku jika kita mengunjungi perpustakaan-perpustaka-an utama di seluruh negara, sama ada perpustakaan awam, atau pun perpustakaan universiti. Perpustakaan-perpustakaan ini mungkin akan ‘mati’ agaknya jika tidak dikunjungi oleh para pembaca yang terdiri daripada bangsa-bangsa bukan Melayu. Begitu juga kalau kita mengunjungi pameran buku atau ekspo perdagangan, sains, dan teknologi, jumlah pengunjung Melayu ke program-program tersebut tidaklah sehebat gerombolan orang-orang Melayu yang mengunjungi konsert hiburan.

            Ada pihak-pihak tertentu yang berpendapat bahawa gejala malas berfikir ini berpunca daripada budaya ‘tongkat’ yang telah bersebati dalam diri orang-orang Melayu semenjak merdeka lagi. Hak keistimewaan orang-orang Melayu yang dijamin oleh perlembagaan dikatakan menyebabkan orang-orang Melayu berada di zon selesa, berbanding kaum-kaum yang lain yang terpaksa bersaing secara efektif dan kompetatif jika mahu hidup selesa di negara bertuah ini.

            Keadaan ini ditambah lagi dengan polisi-polisi yang dibuat oleh kerajaan bagi membela bangsa Melayu yang dianggap masih lemah, miskin, dan memerlukan pertolo-ngan dalam pelbagai aspek. Pemilihan pelajar ke sekolah menengah berasrama penuh, termasuk penubuhan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), kuota Melayu dan bumi-putera di institusi-institusi pengajian tinggi awam, dan Dasar Ekonomi Baru (DEB), termasuk penganugerahan projek-projek kerajaan adalah antara perkara yang seringkali diungkit dan dicemburui oleh kaum-kaum bukan Melayu.

            Tanpa mahu menafikan faktor-faktor tersebut, saya melihat budaya malas berfikir di kalangan orang-orang Melayu di negara ini lebih berkait rapat dengan komitmen dan penghayatan bangsa Melayu terhadap ajaran agama Islam yang dianuti semenjak zaman Parameswara itu lagi. Tak perlulah rasanya saya ulangi di sini galakan Islam supaya orang-orang Islam mengamalkan sikap suka membaca, mengkaji, meneroka ciptaan ilahi, berfikir tentang kebesaran Allah dan ciptaan-Nya, dan membangunkan serta memajukan alam ini dengan cara yang tidak menyalahi syariat-Nya.

            Bukankah Islam telah berjaya mengubah pemikiran sempit orang-orang Arab daripada kepompong padang pasir sehingga mereka berjaya mengharungi salji putih di Eropah, meredah Lautan Hindi yang bergelora, dan meneroka padang rumput di Asia Tengah? Bukankah Islam juga telah berjaya mewujudkan tamadun yang gemilang di lembah sungai Tigris dan Dajlah di Iraq yang kemudiannya telah menjalar sehingga ke Sepanyol di barat dan India di timur?

            Kalau kita membaca buku Sejarah Melayu, kita diberitahu oleh Tun Sri Lanang bahawa zaman kemuncak kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka ialah pada ketika Tun Perak menjadi Bendahara di Melaka. Dalam Sejarah Melayu, Tun Perak digambar-kan sebagai pemimpin yang adil dan bijaksana, taat kepada ajaran Islam, hidup secara sederhana, dan tidak mengutamakan kepentingan diri sendiri. Pendek kata, kepimpinan Tun Perak diumpamakan seperti kepimpinan Khalifah Umar Al-Khattab dan Khalifah Umar bin Abdul Aziz.

            Pada ketika inilah Melaka terkenal sebagai pusat perdagangan di rantau Asia Tenggara yang menjadi persinggahan pedagang-padagang dari China, India, dan Eropah. Manakala, bahasa Melayu pula menjadi bahasa lingua-franca yang digunakan secara rasmi dan meluas oleh para pemerintah, peniaga, pedagang, dan orang ramai. Bukan setakat itu sahaja, bahasa Melayu juga menjadi bahasa ilmu yang menunjukkan bahawa bangsa Melayu pada ketika itu sudah keluar daripada pemikiran kolot agama Hindu kepada nur Islam yang mencerahkan minda.

            Justeru itu, jika orang-orang Melayu ingin menjadi maju, cemerlang, gemilang, dan terbilang, tidak dapat tidak mereka mestilah terlebih dahulu kembali kepada ajaran Islam yang sebenar, termasuk mengubah cara berfikir, cara bekerja, dan cara berinteraksi dalam masyarakat yang berbilang bangsa dan agama di negara ini. Bukankah Allah menjadikan umat manusia ini berbilang-bilang bangsa bagi tujuan setiap bangsa itu saling kenal mengenali antara satu sama lain. Atau dengan kata lain, saling mempelajari kekuatan dan kelebihan yang ada pada bangsa-bangsa yang lain.

            Dalam al-Quran, Allah Ta’ala telah memberi satu formula atau pra syarat bagi setiap bangsa yang ingin menjadi maju dan dinamik. Firman Allah dalam surah al-Ra’d, ayat yang ke-11 yang bermaksud :

            Bagi tiap-tiap seorang, ada Malaikat penjaganya yang silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, yang mengawas dan menjaganya (dari suatu bahaya) dengan sebab perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada suatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada suatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapa pun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkan itu, dan tidak ada sesiapa pun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripada-Nya”.

            Oleh itu, percayalah bahawa Allah Ta‘ala tidak menjadikan sesuatu bangsa itu dalam keadaan secara semulajadinya malas untuk berfikir, melainkan kita sendirilah yang memilih untuk malas berfikir dan malas mengubah status quo yang telah bersebati dalam diri kita. Jadi, berubahlah semua sebelum kita ditertawakan, diperbodohkan, diperlekeh-kan, dan ditipu oleh bangsa-bangsa yang rajin berfikir.

Tamat
20 Disember 2010

Monday, January 21, 2013

Ilmu Sumber Kemewahan

Al Islam, Februari, 2013, hlm. 8-9


Tuesday, January 1, 2013

Jihad Sukan

Al Islam, Januari 2013, hlm. 8-10